Terperangkap dalam perkahwinan tanpa cinta, mempunyai masalah kesihatan mental dan masalah ketagihan candu, Maharani Wanrong akhirnya meninggal dunia seorang diri di usia 39 tahun di dalam penjara gerila Komunis Cina.
Sehingga hari ini, Maharani Wanrong kekal menjadi salah seorang tokoh paling tragis dalam sejarah China. Kalau korang nak tahu cerita penderitaan menyayat hati isteri Maharaja China terakhir ni, baca kisahnya di bawah ni.
Artikel berkaitan: 6 Negara Yang ‘Jatuhkan’ Raja Sendiri, Ini Kisah Mereka
Artikel berkaitan: Wang Zi-Ping: Kenali Salah Seorang ‘Master’ Kung Fu Muslim China Terhebat Dalam Sejarah China
Bagaimana Wanrong boleh menjadi Maharani China
Dilahirkan sebagai Gobulo Wanrong pada 1906 di Beijing, bakal maharani ini membesar ketika pemerintahan Dinasti Qing. Ibunya telah meninggal dunia sejak dia masih kecil dan bapanya pula memegang jawatan yang penting dalam masyarakat.
Dilaporkan, bapa Wanrong, Rongyuan merupakan sebahagian daripada Plain White Banner iaitu salah satu dari Eight Banners atau bahagian pentadbiran elit masyarakat Qing serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk Mahkamah Empayar.
Namun pada 1911 telah berlakunya revolusi di China yang telah menyebabkan Dinasti Qing telah disingkirkan sehingga tertubuhkan Republik China pada 1912.
Walaupun berlaku pergolakan politik, maharaja China yang masih muda, Puyi dibenarkan untuk mengekalkan gelarannya. Malah, remaja ini juga turut dibenarkan untuk mengadakan majlis perkahwinannya di Kota Terlarang apabila dia telah memilih isteri.
Puyi diarahkan untuk memilih bakal isterinya dari satu rangkaian gambar. Tapi kerana dia tak boleh nak berkahwin dengan pilihan pertamanya iaitu seorang gadis berusia 12 tahun bernama Wenxiu, dia dengan berat hati telah memilih Wanrong dan menjadikan Wenxiu sebagai peneman keduanya.
Wanrong yang baru berusia 16 tahun pada ketika itu tak setuju dengan perkahwinan ini. Ketika dayang-dayang sedang menyiapkan dirinya untuk perkahwinan tersebut, Wanrong melawan.
Menurut abangnya, Runqi Gobulo, Wanrong merupakan seorang yang suka memberontak. Ketika itu dia dah tak tahan dengan perkara yang dia perlu belajar untuk menjadi seorang maharani dan juga tak gembira untuk berkahwin dengan seseorang yang dia tak pernah jumpa.
Pun begitu, Wanrong dan Puyi telah dikahwinkan pada 1 Disember 1922. Pasangan ini telah diarak di seluruh Beijing dengan kerusi yang dihias sambil disaksikan oleh ribuan rakyat. Majlis perkahwinan ini juga turut menyaksikan Wanrong membuat tradisi Manchu dengan memijak api, pelana dan epal.
Perkahwinan ini telah mengalami masalah dari awal lagi apabila pengantin baru ini yang sepatutnya menghabiskan malam perkahwinan mereka bersama ini telah menyaksikan Puyi melarikan diri dari bilik mereka pada waktu malam.
Walaupun mempunyai masalah dalam rumah tangganya, Maharani Wanrong cuba menjalani kehidupannya seperti biasa. Wanrong sangat meminati kemodenan, makanan-makanan barat dan muzik Jazz ini turut menggunakan nama gelaran Elizabeth yang diambil dari Ratu England. Dia juga turut dikenali dengan sifat pemurahnya di mana dia telah mendermakan wang sebanyak 600 Yuan untuk membantu mangsa tragedi pada 1923.
Tapi kehidupan perkahwinannya tetap mengganggu kehidupannya. Wanrong cemburukan Wenxiu dan kerana ini, dia telah mula menggunakan candu untuk merawat sakit perut dan sakit kepala. Kemudian pada 1924, kehidupan Wanrong di Kota Terlarang telah berakhir secara tiba-tiba…
Keluarga diraja dibuang dari Kota Terlarang
Pada Oktober 1924, seorang panglima perang bernama Feng Yuxiang telah menjalankan rampasan kuasa sehingga Puyi dan Wanrong telah dibuang dari Kota Terlarang.
Pasangan diraja ini bersama Wenxiu kemudiannya telah pergi ke bandar Tianjin dibawa perlindungan Jepun. Di sana, ketagihan Wanrong terhadap candu semakin menjadi-jadi.
Walaupun maharani ini gemar menonton teater, menari dan membeli belah sebagai cara untuk bersaing dengan Wenxiu, Wanrong mula mengalami penyakit neurasthenia di mana simptomnya termasuklah sakit kepala dan kelesuan.
Sementara itu, Wanrong juga semakin tertekan memikirkan suaminya, Puyi yang tak pernah cintakannya dan menderita dari kesunyian, kebosanan dan pengabaian.
Wenxiu turut tak gembira dengan kedudukannya sebagai peneman kedua. Jadi pada 1931, wanita ini telah meninggalkan Puyi. Puyi menyalahkan Wanrong atas pemergian kekasihnya itu di mana di dalam memoir yang ditulisnya, maharaja ini mengatakan yang dia telah berhenti bercakap dengan maharaninya itu selepas Wenxiu tinggalkannya.
Dengan hubungan mereka yang semakin tawar, nasib politik Wanrong dan Puyi juga turut bertukar menjadi lebih kompleks. Pada 1932, Jepun telah menjadikan Puyi sebagai ketua Manchukuo di Manchuria. Tapi kekuasaan mereka di Machukuo hanyalah ilusi, Wanrong sentiasa dikawal dan telah cuba untuk melarikan diri beberapa kali namun gagal.
Walaupun Puyi telah ditabal sebagai Maharaja Manchukuo secara rasmi pada 1934, Maharani Wanrong tak sukakan kehidupan barunya sehingga dia jarang membuat kemunculan awam dan turut menunjukkan tanda-tanda kesihatan mental yang semakin teruk dan pada 1938, dia telah mula menghisap candu sebanyak dua auns sehari.
Penyiksaan Maharani Wanrong di tahun-tahun akhir kehidupannya
Ketika ini, Maharani Wanrong mula menjalani hubungan sulit dengan dua pembantunya Li Tiyu dan Qi Jizhong sehingga hamil.
Namun begitu, tak ada siapa yang tahu apa yang berlaku ketika Wanrong melahirkan anak perempuannya pada 1935 tapi anaknya itu tak hidup lama. Ada yang mendakwa Puyi terlalu marah selepas mendapat tahu tentang kecurangan isterinya itu sehingga dia telah membaling bayi tersebut ke dalam air panas. Ada juga yang kata bayi tersebut lahir mati.
Puyi mungkin telah memberitahu Wanrong bahawa anaknya masih hidup dan dijaga oleh abangnya tapi kesihatan mental Wanrong makin merosot selepas kelahiran tersebut. Kebergantungannya terhadap candu juga makin meningkat.
Maharani ini telah menghabiskan masanya di dalam bilik seharian untuk menghisap candu dan turut menghisap dua kotak rokok sehari. Selain itu, dia juga jarang bangun dari katilnya, dah tak berhias serta menjadi sangat kurus dan lemah.
Menurut laporan, Wanrong dikatakan tak mampu nak berjalan atau melihat apabila Soviet menceroboh Manchuria pada 1945. Puyi telah melarikan diri dari Manchuria dan meninggalkan isterinya di sana. Wanrong dan adik iparnya telah ditahan oleh komunis Cina pada Januari 1946 ketika cuba melarikan diri ke Korea. Mereka kemudiannya dipenjarakan di Jilin di mana Wanrong telah menghabiskan sisa-sisa terakhir hidupnya dalam penyeksaan akibat ketagihan.
Ada laporan mengatakan bahawa Wanrong tidak diberikan makanan dan dipamerkan seperti haiwan di dalam zoo supaya orang-orang Cina boleh membencinya kerana menjalinkan hubungan dengan Jepun.
Pada Jun 1946, Wanrong telah meninggal dunia di usia 39 tahun kerana kekurangan zat makanan dan ketagihan candu dan ditinggalkan di atas lantai penjara di dalam lopak air kencingnya sendiri.
Sementara Puyi pula menghabiskan masa beberapa tahun di penjara dan menjadi tukang kebun dan pemandu pelancong untuk Kota Terlarang. Mayat Maharani Wanrong tak pernah ditemui dan pada tahun 2006, abangnya Runqi telah mengadakan pengebumian simbolik untuknya.
Sumber: ati