Upacara Pembukaan Olimpik 2024 di Paris minggu lalu telah menjadi topik hangat di media sosial. Antara perkara yang mencuri tumpuan ketika itu merupakan persembahan kumpulan metal Perancis, Gojira yang menggunakan visual Marie Antoinette tanpa kepala.
Sebagai kumpulan heavy metal pertama membuat persembahan di Upacara Pembukaan Olimpik, Gojira telah menyanyikan lagu berjudul Ah Ça Ira iaitu lagu yang dipopularkan semasa Revolusi Perancis.
Bagi negara Perancis, pemenggalan Marie Antoinnete ini merupakan sejarah terbesar Perancis bagi mencapai kemerdekaan. Jom ketahui kisah tentang Marie Antoinnete, permaisuri terakhir Perancis yang menemui ajalnya di gilotin.
Artikel berkaitan: 6 Negara Yang ‘Jatuhkan’ Raja Sendiri, Ini Kisah Mereka
Artikel berkaitan: Ini 5 ‘Skandal’ Diraja Paling Kontroversi & Mengejutkan Dunia
Kehidupan awal Marie Antoinette
Marie Antoinette merupakan anak ke-15 kepada Maharaja Rom Suci Francis I dan Maharani Habsburg paling berkuasa, Maria Theresa. Dia dilahirkan di Vienna, Austria pada 1755 iaitu pada zaman ketidakstabilan yang dahsyat untuk monarki Eropah.
Pada 1766, sebagai cara untuk memeterai perhubungan di antara takhta Perancis dan Habsburg, Maria Theresa berjanji akan mengahwinkan anak perempuannya dengan bakal raja Perancis, Louis XVI.
Empat tahun kemudian, Marie Antoinnette telah dikahwinkan dengan Louis-Auguste yang ketika itu memegang gelaran sebagai Dauphine of France. Marie ketika ini baru berusia 15 tahun manakala Louis berusia 16 tahun. Namun mereka berdua masih belum bertentang mata dengan satu sama lain.
Kemudian, pada 16 Mei 1770, perkahwinan kedua yang lebih mewah telah diadakan di gereja diraja Versailles. Lebih dari 5,000 tetamu telah melihat mereka berkahwin dan ini merupakan permulaan Marie Antoinnete muncul di mata awam.
Kehidupan Marie Antoinette di Versailles
Selepas berkahwin dengan Louis dan berpindah ke Versailles pada 1770, Marie telah masuk ke dalam dunia yang penuh dengan kekayaan dan protokol. Sebagai bakal permaisuri dan kemudiannya menjadi Permaisuri Perancis, dia juga merupakan salah seorang individu paling penting di Eropah.
Pada awalnya Marie sukar untuk menyesuaikan diri dengan protokol dan kehidupan yang formal di Versailles. Istana Perancis mempunyai peraturan yang ketat tentang etika dan jadual harian yang membuatkan seseorang itu tak mempunyai kebebasan. Pun begitu, Marie kemudiannya telah dikenali dengan daya tarikan, kecantikannya dan mata yang tajam dalam fesyen. Dia sukakan gaun dan gaya rambut yang mewah dan berlebih-lebihan serta barang kemas mahal telah menjadi imejnya.
Kehidupan dan tabiatnya yang suka berbelanja dengan mewah telah membuatkan rakyat di Perancis risau dan membencinya. Apabila krisis kewangan di Perancis menjadi lebih teruk, Marie Antoinette telah dijadikan sasaran untuk orang kritiknya dan sering dianggap sebagai golongan diraja yang tak faham kesusahan rakyat biasa.
Revolusi Perancis
Revolusi Perancis merupakan satu tempoh perubahan sosial dan politik di Perancis dari 1789 ke 1799. Ia bermula selepas ramai yang tak puas hati dengan cara negara ini dijalankan. Dengan cukai yang tinggi, makanan tak cukup serta jurang yang besar di antara orang kaya dan miskin.
Marie Antoinette telah dipersalahkan atas penderitaan rakyat Perancis pada ketika itu. Ini kerana, permaisuri ini telah hidup dengan kemewahan sementara orang lain tengah susah. Malah, surat khabar dan risalah telah disebarkan dengan melukis dan mengutuk Marie sebagai “pelacur Austria” yang cuba untuk lakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Perancis.
Pada Oktober 1789, sekumpulan wanita Perancis yang sedang melakukan protes kenaikan harga roti dan barang-barang lain telah pergi ke istana Versailles dan membawa kesemua keluarga diraja ke Paris dan memenjarakan mereka.
Kemudian pada Jun 1791, Louis XVI dan Marie telah cuba melarikan diri dan pergi ke sempadan Austria di mana khabar angin mengatakan, abang Marie, Maharaja Rom Suci sedang menunggu di sana dan bersedia untuk menceroboh Perancis dan menggulingkan kerajaan revolusi serta mengembalikan kekuasaan monarki dan orang bangsawan. Insiden ini menurut orang ramai merupakan bukti bahawa Marie bukan sahaja seorang pendatang malah merupakan seorang pengkhianat.
Kejatuhan Marie Antoinette
Keluarga diraja ini kemudiannya kembali ke Paris dan takhta Louis XVI dikembalikan.. Namun begitu, ramai pejuang revolusi mula bercanggah mengatakan bahawa musuh mereka yang sebenarnya bukanlah orang-orang bangsawan tapi monarki itu sendiri.
Jadi pada 1792, untuk melihat kesetiaan raja dan permaisuri, kerajaan Jacobin telah mengisytiharkan perang ke atas Austria dan ketika ini tentera Perancis telah kalah dan ramai yang menyalahkan Marie.
Pada Ogos, pejuang revolusi sekali lagi menyerang istana dan menggulingkan monarki serta mengurung mereka di sebuah menara. Pada September, pejuang revolusi mula membuat pembunuhan beramai-ramai ke atas golongan diraja yang dipenjarakan. Malah, salah seorang rakan baik Marie, Princesse de Lamballe telah dikerat di jalanan dan kepalanya telah diarak ke seluruh Paris.
Louis XVI kemudiannya dibicarakan pada Disember kerana pengkhianatannya dan didapati bersalah dan dihukum mati.
Kempen membenci Marie Antoinette makin kuat dijalankan di mana pada Julai 1793, dia telah kehilangan hak penjagaan ke atas anak lelakinya yang kemudiannya disuruh untuk menuduh ibunya melakukan keganasan seksual ke atasnya di mahkamah tribunal.
Pada Oktober, Marie telah didapati bersalah kerana mengkhianati negara dan dihantar ke gilotin untuk dipancung. Dia berusia 37 tahun pada ketika itu.
Kini, Marie Antoinette kekal menjadi figura sejarah yang terkenal dan dijadikan simbol kemewahan yang berlebih-lebihan dan akhirnya menjatuhkan monarki Perancis. Kisahnya ini telah menjadi contoh perubahan dramatik kurun ke-18 dan pengakhiran monarki mutlak di Perancis dan kebangkitan republik revolusi.
Sumber: History