Bila kasih dan cinta seorang suami kepada isterinya benar-benar tulus, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan. Malah, lelaki juga akan sanggup untuk menghabiskan segalanya demi mencari kebenaran sekiranya perkara terburuk berlaku pada orang yang disayangi.
Ini kisah menyayat hati seorang lelaki bernama Satoru Takaba, di mana selama 26 tahun setia mempertahankan keadilan untuk isterinya yang dibunuh pada tahun 1999.
Demi mencari pembunuh sebenar, dia telah habis berbelanja sebanyak 22 juta yen untuk membayar sewa rumah yang pernah menjadi lokasi pembunuhan isterinya sebagai bahan bukti.
Sejak hari itu, dia tak pernah mencuci, mengubah atau menyentuh walau sedikit bahagian rumah tersebut, semata-mata nak memelihara bukti yang mungkin boleh membongkar kebenaran di sebalik tragedi tersebut.
Berikut adalah kisah sebenar yang berlaku pada isterinya.
Mangsa ditemui mati di rumah

Pada 13 November 1999 di Nagoya, seorang suri rumah bernama Namiko Takaba ditemui mati di pangsapurinya bersama seorang anak lelaki berusia 2 tahun.
Tubuh wanita itu menunjukkan kesan luka tikaman berkali-kali terutamanya di bahagian lehernya. Namun, anak lelakinya terselamat dan tidak dicederakan.
Sejurus itu, pihak berkuasa terus mengarahkan 100,000 pegawai polis untuk menyiasat kes ini dan sebanyak 5,000 individu telah disoal siasat. Namun, misteri pembunuhan itu kekal tiada jawapan.
Satu-satunya petunjuk yang ditinggalkan hanyalah jejak yang agak samar dan suspek dipercayai merupakan seorang wanita berdarah jenis B, tingginya sekitar 1.6 meter dan memakai kasut bersaiz 24cm.
Bagi mempercepatkan siasatan, pihak polis telah menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat tentang pembunuh tersebut.
Artikel Berkaitan: Wanita Ditemui Maut Lepas Bun*h Anak Perempuan Umur 4 Tahun, Anak Lelaki Sempat Larikan Diri – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Suami Pulang Terkejut, Temui Isteri Dan Anak Maut Dalam Rumah – Lobak Merah
26 tahun mencari kebenaran

Suaminya, Satoru Takaba turut berusaha sedaya upaya untuk mencari keadilan buat isterinya. Demi mengekalkan keadaan asal tempat kejadian, dia telah membiarkan pangsapuri mereka tidak dihuni selama 26 tahun.
Dia juga tidak pernah membersihkan kesan darah serta menyentuh satu pun barangan di dalamnya demi menjadikan rumahnya sebagai bahan bukti pembunuhan isterinya.
Selama tempoh itu, Takaba telah membayar sewa setiap bulan dan ianya mencecah sebanyak 22 juta yen iaitu bersamaan dengan RM700,000, walaupun mereka tidak lagi mendiami rumah tersebut. Dia dan anaknya telah berpindah dan tinggal di tempat lain di samping dia tidak pernah berkahwin semula.
Selain itu, Takaba juga sering turun dan edar flyers kepada orang awam serta terima temu bual daripada pihak media demi menyeru orang ramai untuk tampil memberi petunjuk yang boleh membantu siasatan.
Selepas bertahun-tahun kes ini kekal misteri tanpa jawapan, pihak polis akhirnya membuka semula siasatan pada tahun lalu dengan fokus baharu iaitu terhadap individu yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa.
Suspek serah diri

Pada 30 Oktober, seorang wanita berumur 69 tahun, Kumiko Yasufuku tiba-tiba tampil dan menyerah dirinya ke pihak polis. Sejak siasatan dibuka pada tahun lepas, wanita ini pernah disoal siasat dan diminta untuk memberi sampel darah untuk dijadikan uji kaji DNA, namun dia enggan memberikannya.
Apabila pihak polis menghubungi dia pada bulan Ogos lalu, dia menjelaskan yang selama 2 dekad ini hidupnya tidak pernah tenang dan dia sering dihantui dengan tanggal 13 November setiap tahun sebab dia tahu apa yang berlaku pada Namiko.
Selama dua dekad ni, setiap hari saya rasa risau dan takut. Saya tak berani langsung nak tengok berita mengenai kes ni. Setiap tahun, saya akan rasa gelisah yang melampau dan murung bila 13 November tiba.
Selama ni saya tak nak ditangkap sebab saya tak nak susahkan hati keluarga saya. Tapi, bila pihak polis hubungi saya pada Ogos lalu, saya rasa saya sudah bersedia untuk serah diri. Saya minta maaf sangat pada Namiko,” katanya pada pihak polis.
Pihak polis turut menyatakan bahawa DNA yang diperoleh daripada darahnya sepadan dengan DNA suspek wanita tinggalkan darahnya di lokasi kejadian. Maka, dengan serta-merta dia telah ditahan atas tuduhan membunuh.
Suspek pernah suka suami mangsa

Takaba sangat terkejut dan tidak menyangka bahawa Yasufuku adalah suspek kepada pembunuhan isterinya kerana dia sangat mengenali wanita itu.
Saya tak pernah sekalipun terfikirkan dia. Saya sangkakan suspek akan tingalkan Nagoya, tapi rupanya suspek ialah orang yang tinggal dekat dengan rumah lama kami,” katanya.
Sebenarnya, Takaba dan Yasufuku merupakan rakan sekelas ketika sekolah menengah dan Yasufuku pernah mengirimkan sebuah coklat dan sepucuk surat cinta pada Hari Valentine, tapi Takaba menolak cintanya.
Sejak habis sekolah, mereka tidak pernah lagi berhubung dan hanya pernah jumpa sekali sahaja iaitu setahun sebelum kejadian tragis berlaku.
Dia cakap yang dia dah kahwin dan perlu bekerja. Dia cakap dia penat dengan kerjanya.
Tapi dia tak pernah ganggu kami sebelum ni, jadi saya memang tak pernah terfikirkan dia pun,” kata Takaba lagi.
Menurut Takaba juga, usaha membayar sewa rumahnya selama 26 tahun akhirnya membuahkan hasil yang dia tunggu selama ini. Namun begitu, dia tetap rasa bersalah sangat pada isterinya kerana pembunuhnya adalah seseorang yang dia sangat kenal.
Kisah ini mengingatkan kita walau macam mana cara sekalipun kita cuba untuk melindung, merancang atau berusaha sehabis mungkin, tetap akan ada perkara dalam hidup yang berlaku mengikut kehendak dan ketentuan-Nya.
Walaupun akhirnya pembunuh berjaya dikenal pasti, hati yang merasa kehilangan tetap tidak mudah untuk disembuh. Kasih seorang suami yang setia dan berani mencari kebenaran selama 26 tahun ini jelas menceritakan penderitaan dan kehilangan yang dia tanggung selama ini.
Sumber: SCMP
