in

Kisah Flor De La Mar Yang Bawa Harta Dari Melaka, Karam Di Lautan Lepas Dibadai Ribut Kuat

Featured LM 39

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semalam, negara kita telah berdepan dengan amaran cuaca ribut tropika Senyar yang telah melanda Semenanjung awal pagi tadi, yang mana amaran hujan lebat dijangka berlarutan sehingga Sabtu.

Ia merupakan fenomena yang jarang berlaku di kawasan berhampiran khatulistiwa, dengan kawasan pantai barat Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, KL, Putrajaya, Melaka, dan Johor menerima kesan hujan lebat, angin kencang, dan laut bergelora.


Namun tahukah anda, lebih 500 tahun lalu pada bulan November juga, sebuah kapal Portugis bernama Flor de la Mar yang membawa harta rampasan dari Melaka didakwa turut karam selepas dibadai ribut kuat di Selat Melaka.

Kisah ini seakan-akan membuatkan kita tertanya-tanya, adakah ribut dengan kekuatan yang sama melanda Melaka pada tahun 1511 dahulu?

Kalau korang nak tahu apa berlaku pada kapal Portugis ini, teruskan baca artikel di bawah ini.

Kapal Flor de la Mar 

kapal flor de la mar

Flor de la Mar merupakan sebuah kapal ekspedisi Portugis yang dibina pada awal abad ke-16. Kapal ni sebenarnya bukan kapal perang biasa sebab ia memang sengaja direka besar, tinggi dan mampu untuk membawa muatan yang jauh lebih berat berbanding dengan kapal lain pada zaman itu.

Kapal ini dibina di Lisbon pada tahun 1502 dengan seberat 400 tan, menjadikannya antara kapal terbesar dan paling mewah pada zaman itu. Kapal ini juga dikatakan panjang sekitar 120 kaki, tinggi 110 kaki dan dilengkapi tiga dek yang lengkap dengan 40 meriam bagi tujuan untuk kelihatan megah serta menakutkan musuh.

Namun rekaannya yang tinggi dan berat inilah yang menyebabkan stabilitinya lemah, terutamanya bila muatan terlalu berat.

Sebuah kapal yang berpengaruh hebat

Flor de Mar

Sejak pelayaran pertamanya ke India pada 1502 hingga 1503, kapal ini telah terlibat dalam pelbagai misi penting di perairan Lautan Hindi. Kapal ini menyertai beberapa penaklukan dan pertempuran di pelabuhan strategik, termasuklah Socotra, Kuryat, Muscat, Khorfakkan, Kalba dan Sohar yang kini terletak di Oman dan Emiriah Arab Bersatu.

Selain itu, kapal ini turut berperanan dalam pertempuran di Ormuz, Diu dan Calicut sebelum berlaku penaklukan Goa pada tahun 1510 yang menjadikannya salah satu kapal yang paling berpengaruh dalam operasi Portugis.

Pada tahun yang sama, kapal ini diletakkan di bawah pimpinan Afonso de Albuquerque iaitu salah seorang komander paling terkenal dalam sejarah Portugis dan tokoh utama dalam pembinaan empayar Portugal di rantau Asia Tenggara.

Namun beberapa tahun kemudian, keadaan kapal ini mula menimbulkan kebimbangan apabila ia tidak lagi dalam keadaan yang terbaik. Kayunya mula reput akibat serangan shipworms, di samping sering berdepan dengan kebocoran kapal yang memerlukan pembaikan secara besar-besaran.

Masalah ini juga sebenarnya pernah menyebabkan pelayaran kapal tertangguh hampir setahun di Mozambique kerana keadaan kapal terlalu rapuh meskipun telah berjaya harungi beberapa misi yang berbahaya.

Inilah kapal yang datang tawan Melaka dulu 

flor de laaa mar

Melaka pada waktu itu merupakan salah satu kota perdagangan paling penting di Asia. Kehebatan pusat perdagangan di Melaka pada waktu itu dikatakan lebih besar daripada Lisbon dan hampir setanding dengan Venice. Antara barangan yang dibawa oleh pedagang dari seluruh dunia adalah seperti rempah, kain, porselin, emas dan barangan mewah lain.

Dalam buku Suma Oriental yang ditulis oleh Sarjana Portugis, Tomé Pires menyatakan bahawa sesiapa yang mampu untuk menguasai Melaka akan mampu untuk menguasai Venice juga.

Hal ini kerana, Melaka merupakan pusat perdagangan rempah yang sangat hebat sehingga ia boleh memberi pengaruh terhadap kekayaan Venice kerana Venice juga dikatakan memonopolikan perdagangan rempah di Eropah pada waktu itu.

Selepas menawan Melaka pada tahun 1511, Afonso de Albuquerque bersama pengikutnya merampas pelbagai harta dari kota itu, yang dikatakan antara koleksi harta paling besar pernah diperoleh Portugis.

Antara rampasan mereka pada waktu itu termasuklah 80 tan emas, 200 peti yang penuh dengan berlian, rubi, zamrud, syiling, barang kemas, empat arca singa bersaiz sebenar yang diperbuat daripada emas tulen serta sebuah meja bertatahkan batu permata yang digunakan oleh Permaisuri Melaka semasa makan.

Kesemua harta ini dimuatkan ke dalam kapal Flor de la Mar serta ditambah lagi dengan harta peribadi Albuquerque sendiri menjadikan kapal yang sudah sedia tidak stabil menjadi lagi uzur.

Kru kapal sendiri turut melaporkan yang mereka tidak yakin untuk berlayar ekoran keadaan kapal yang kelihatan tidak selamat, tetapi Albuquerque yang menegas untuk membawa pulang semua rampasan itu ke Portugal semula.

Tragedi November 1511 

november 1511

Pada bulan November 1511, kapal itu meninggalkan Melaka melalui Selat Melaka dengan badan kapal yang sangat reput. Meskipun begitu, kapal itu sempat berlayar selama lebih sebulan sebelum ia berdepan dengan cuaca monsun Timur Laut yang tidak menentu.

Di pesisir perairan Sumatera, kapal itu diserang dengan ribut kuat. Mereka cuba untuk mendapatkan kapal menghampiri ke pantai bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, namun cubaan itu gagal apabila berlaku pelanggaran dengan kawanan ikan di lautan. Secara tidak langsung, ia telah menyebabkan kapal itu karam apabila ia mula retak dan terbelah dua pada malam 20 November 1511.

Jumlah korban yang terlibat pada malam itu dianggarkan hampir 400 orang tetapi Albuquerque dan beberapa yang lain dikatakan terselamat sebab sempat dibawa naik ke kapal Trinidade, namun harta-harta rampasan daripada Melaka pula lenyap ditelan laut.

Berapa nilai harta Melaka yang dirampas? 

Featured LM 38

Anggaran nilai harta yang dibawa oleh kapal Flor de la Mar sebenarnya sukar untuk ditentukan kerana bercampur dengan catatan sejarah dan cerita-cerita yang telah ditokok tambah. Memetik laporan media tempatan, nilai yang dirampas oleh Portugis ini dikatakan boleh mencecah RM10.6 billion, termasuklah 55 ribu kilogram emas yang dibawa.

Meskipun ada negara Malaysia, Indonesia dan Portugal mahu menuntut hak milik ke atas harta yang dibawa oleh kapal Flor de la Mar ini di mahkamah antarabangsa The Hague, namun sehingga hari ini tak ada negara yang disahkan berhak untuk menjadi tuan kepada harta yang tenggelam sekali dengan kapal tersebut andai kata kapal berkenaan berjaya dijumpai satu hari nanti.

Sejak kapal itu karam, sudah banyak usaha telah dilakukan untuk mencari bangkai kapal dan khazanah yang ditelan laut, namun masih belum ada penemuan yang memberi bukti yang kukuh. Disebabkan hasil pencarian kapal ini sering gagal, lokasi kapal ini masih menjadi misteri untuk kita semua.

Sumber: Iluminasi, FMT

Sumber: Colombia One
Sumber: Visit Melaka

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.