Pada awal kurun ke-17, khabar angin bertebaran di kampung yang terletak di Trencin yang kini dikenali sebagai Slovakia di mana gadis-gadis muda yang mencari kerja sebagai pembantu di Istana Csejte mula menghilangkan diri. Tak ada orang tahu apa puncanya sebelum orang ramai mula mengesyaki Countess Elizabeth Bathory.
Kalau korang nak tahu, Elizabeth Bathory kini dikenali sebagai Blood Countess dan dikatakan telah membunuh sehingga 650 gadis dan wanita di Hungary. Kalau betul dakwaan ini, ia menjadikan Elizabeth sebagai pembunuh bersiri wanita paling prolifik sepanjang zaman. Namun begitu, tak semua yakin Elizabeth Bathory benar-benar bersalah.
Bagaimana jenayah Elizabeth Bathory bermula
Elizabeth Bathory dilahirkan pada 7 Ogos 1560 di Nyirbator, Hungary. Dia dibesarkan dalam keluarga yang dihormati dan hidup dalam kemewahan sejak dari kecil.
Menurut beberapa saksi, jenayah yang dilakukan oleh Elizabeth ini adalah di antara 1590 dan 1610 di mana pembunuhan-pembunuhan paling kejam dilakukannya selepas kematian suaminya pada 1604. Sasarannya merupakan gadis dan wanita miskin yang diumpan ke istana dengan pekerjaan untuk membuat kerja-kerja rumah.
Namun begitu, ada yang mendakwa Elizabeth turut membunuh anak-anak perempuan bangsawan yang telah dihantar ke Csejte untuk mendapatkan pendidikan serta menculik gadis-gadis tempatan yang tidak akan menjejakkan kaki ke istananya dengan rela hati.
Sebagai seorang wanita bangsawan, Elizabeth berjaya mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang sehingga tahun 1610. Ketika itu, Elizabeth dilaporkan telah membunuh beberapa mangsa dari keluarga bangsawan yang membuatkan pihak berkuasa mula bimbang jika dibandingkan dengan kematian gadis-gadis miskin.
Disebabkan ini, Raja Hungary, King Matthias II telah menghantar wakilnya Gyorgy Thurzo untuk menyiasat dakwaan ke atas Elizabeth Bathory. Thurzo telah mengumpul bukti dari 300 saksi yang melemparkan tuduhan ngeri ke atas wanita ini.
Tuduhan mengejutkan ke atas Elizabeth Bathory
Menurut laporan dan cerita orang tempatan, Elizabeth Bathory dikatakan telah menyeksa mangsa-mangsanya dengan cara yang sangat kejam.
Dia dikatakan telah membakar mangsa-mangsanya dengan besi panas, pukul mangsanya sehingga mati dengan kayu, mencucuk jarum di bawah kuku mangsanya, menyimbah air sejuk ke atas badan mereka dan biarkan dorang mati kesejukan di luar rumah, simbah dengan madu supaya mereka dimakan serangga, jahit mulut dan menggigit daging mangsanya dari payudara dan muka.
Saksi mendakwa bahawa cara seksaan kegemaran Elizabeth adalah dengan menggunakan gunting untuk mencacatkan muka dan badan mangsanya. Dikatakan, dia telah menggunakan gunting untuk memotong tangan, hidung dan alat sulit mangsa.
Ketika siasatan dijalankan juga, ada beberapa saksi mengatakan bahawa Elizabeth merupakan seorang pontianak dan ada juga yang mendakwa pernah melihat dia menjalinkan hubungan seks dengan syaitan.
Tuduhan paling terkenal merupakan dakwaan yang memberikan gelaran Blood Countess, di mana Elizabeth Bathory dikatakan telah menggunakan darah-darah mangsanya untuk mandi bagi mengekalkan keremajaannya. Pun begitu, dakwaan ini hanya muncul secara bertulis seabad selepas kematian Elizabeth.
Disebabkan mungkin terdapat elemen-elemen mitos tentang jenayah yang dilakukan oleh Elizabeth, ia telah menimbulkan persoalan tentang cerita mana yang betul dan rekaan serta berapa banyak cerita yang dibuat-buat hanya untuk menjatuhkan wanita bangsawan ini.
Betul ke Elizabeth Bathory buat semua kekejaman ni?
Selepas mendengar tuduhan dari beberapa saksi. Thurzo kemudiannya telah mendakwa Elizabeth atas kematian 80 gadis. Salah seorang saksi mendakwa yang dia telah melihat sendiri buku yang disimpan oleh Elizabeth di mana wanita ini dikatakan telah menyimpan nama semua mangsa-mangsanya seramai 650 orang. Pun begitu, diari ini tak pernah dilihat oleh orang lain sehingga hari ini.
Selepas perbicaraan tamat, rakan komplot Elizabeth iaitu salah seorang pekerja yang diambil sebagai ibu susuan anak-anaknya telah didapati bersalah kerana mengamalkan ilmu sihir dan diberikan hukuman bakar sampai mati.
Manakala Elizabeth, ekoran statusnya sebagai bangsawan, dia tidak dikenakan hukuman mati dan perlu diasing dan dikurung di dalam bilik di Istana Csejte di mana dia kekal di sana selama empat tahun sehingga dia meninggal dunia pada 1614.
Namun begitu, beberapa cendekiawan moden Hungary mengatakan, tuduhan ke atas Elizabeth ini mungkin didorong oleh kekuasaan dan ketamakan orang lain.
Ini kerana, King Mathias II dikatakan telah berhutang dengan mendiang suami dan Elizabeth dengan jumlah yang agak besar. Namun begitu, Mathias enggan membayar hutang tersebut sehingga beberapa pakar sejarah mengatakan ia telah menjadi motif untuk raja ini menuduh Elizabeth dengan bebearapa jenayah dan tak berikan wanita ini peluang untuk membela dirinya di mahkamah.
Disebabkan ini, saksi-saksi yang menuduh Elizabeth mungkin berbuat demikian kerana dipaksa serta raja ini juga telah mengugut untuk memberikan hukuman mati sebelum keluarga Elizabeth sempat masuk campur. Ini kerana, hukuman mati boleh menyebabkan Mathias boleh mengambil tanah milik Elizabeth.
Pakar sejarah mengatakan, kisah benar Elizabeth Bathory adalah: Wanita bangsawan ini memiliki tanah strategik yang penting dan sekaligus memberikan lebih banyak kemewahan kepada keluarga yang sememangnya kaya ini. Sebagai wanita yang bijak dan berkuasa dan tanpa suami di sisi serta memiliki kemewahan yang boleh membuatkan seorang raja rasa gerun, mahkamah mempunyai misi untuk menghancurkan wanita ini.
Apa yang mungkin terjadi adalah, Elizabeth mungkin telah menyeksa pekerja-pekerjanya namun tidaklah sampai membunuh dengan kejam seperti dakwaan yang dilempatkan di mahkamah. Pun begitu, sampai sekarang ramai orang masih tak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
Sumber: ati