Apabila seseorang itu mencintai pasangannya, tiada apa yang boleh menghalang hubungan mereka meskipun keluarga dan rakan terdekat. Malah, sudah banyak kisah berkenaan cinta terlarang yang dilaporkan di media sosial.
Namun, bagaimana pula jika kita melihat seseorang itu bercinta dengan sesuatu yang bukan manusia? Adakah kita menghalang individu itu, atau membiarkan mereka atas nama ‘cinta’.
Sebenarnya, banyak kisah di dalam dunia ini berkenaan manusia yang berkahwin dengan objek atau perkara yang tidak hidup. Mungkin ia kedengaran pelik buat pembaca, tapi kisah ini memang wujud!
Berikut adalah lima kisah berkenaan manusia yang berkahwin dengan objek:
1. Berkahwin dengan telefon bimbit
Pengarah filem dari Los Angeles, Aaron Chervenak mengahwini telefon bimbitnya kerana dia ingin membuktikan tentang hubungan emosi di antara manusia dan telefon mereka.
Dia juga melakukan ini selepas penat dengan paksaan ibu bapa yang menyuruhnya untuk mencari teman wanita.
Untuk rekod, Aaron berkahwin dengan telefon bimbitnya dalam satu majlis di Las Vegas.
2. Berkahwin dengan enjin kereta api
Joachim ialah seorang individu yang obses dengan apa-apa objek berkaitan teknikal dan kejuruteraan, memandangkan dia ialah seorang mekanik yang hebat.
Joachim mula menyedari akan cintanya terhadap enjin sejak 12 tahun. Lelaki berusia 45 tahun itu berkata, dia tidak kisah akan pandangan orang lain terhadapnya.
Mungkin inilah apa yang dikatakan sebagai ‘apabila kita cintakan kerja, kerja juga akan mencintai kita’.
3. Berkahwin dengan dinding
Seorang wanita bernama Eija-Riitta Berliner-Mauer berkahwin dengan Tembok Berlin pada tahun 1979 selepas dia dilaporkan dengan keadaan yang dipanggil sebagai ‘Objectum-Sexuality’.
Wanita ini berkata dia mula jatuh cinta pada struktur itu ketika pertama kali melihatnya di televisyen pada usia tujuh tahun. Sejak itu, dia mula menyimpan gambar dinding itu dan menyimpan duit untuk melawat.
Pada tahun 1989, dinding itu dirobohkan atas sebab tertentu. Berliner-Mauer mendakwa dia berasa sedih ketika melihat pasangannya itu dijatuhkan. Sehingga kini, masih tiada khabar berita berkenaan wanita ini.
4. Berkahwin dengan karakter permainan video
Seorang lelaki yang popoular dengan panggilan Sal9000 telah mengahwini Nene Anegasaki, seorang karakter di dalam permainan Nintento DS yang dipanggil ‘Love Plus’.
Lebih menarik, Sal9000 mengadakan majlis perkahwinan dan membuat liputan secara langsung kepada orang ramai.
Perkahwinan itu turut menyaksikan ucapan daripada pengantin wanita, yang kemudiannya direstui oleh paderi sebenar.
5. Berkahwin dengan roller coaster
Kebiasannya, kita akan seronok melihat roller coaster kerana rasa teruja untuk menunggang permainan itu. Namun, lain pula kisahnya buat Amy Wolfer yang mengahwini sebuah roller coaster berketinggian 80 kaki.
Roller coaster yang dikenali sebagai 1001 Nachts itu mula menarik perhatian Amy ketika dia berusia 13 tahun. Jelas Amy, dia berasa tertarik secara seksual dan mental kepada objek itu, namun dia tidak berkongsikan hal ini kepada keluarga kerana khuatir akan dimarahi.
Kredit: Ranker