Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya dan juga Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo hari ini telah meninggal dunia akibat jangkitan COVID 19.
Menurut Astro AWANI, Ismail berusia 69 tahun dan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh tengah hari tadi.
Perkara ini juga telah disahkan Ketua UMNO Bahagian Langat, Datuk Johan Aziz dan Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar menerusi ucapan takziahnya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.
https://www.facebook.com/mynohomar/posts/2109381002529934
Sebagai rekod, Ismail telah menjadi wakil rakyat Lembah Jaya dari 1994 hingga 2003.
Urusan pengebumiannya pula difahamkan akan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan arwah disahkan positif COVID 19.
Ismail sebelum ini adalah antara kontak rapat kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang disahkan positif pada 14 Jan lalu.
Isteri arwah, Rozana Ismail yang juga positif COVID 19 walau bagaimanapun sudah sembuh dan kini sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.
Takziah dan Al Fatihah buat keluarga.