Duangpetch Promthep, salah seorang daripada 12 kanak-kanak yang diselamatkan dari sebuah gua Thai pada tahun 2018 dilaporkan telah meninggal dunia di United Kingdom awal minggu ini.
Memetik laporan BBC, remaja yang kini berusia 17 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di asramanya di Leicestershire pada Ahad lalu dan dibawa ke hospital, di mana beliau telah meninggal dunia pada hari Selasa.
Promthep telah mendaftar di akademi bola sepak di UK sejak akhir tahun lalu dan beliau adalah kapten pasukan bola sepak lelaki Thai, yang terperangkap jauh di dalam gua selama lebih dua minggu semasa meneroka di wilayah Chiang Rai.
Walau bagaimanapun, kematian remaja itu tidak diketahui. Namun, Polis Leicestershire berkata kematiannya tidak dianggap sebagai mencurigakan. Pihak polis tidak menolak kemungkinan Promthep mengalami kecederaan di kepala.
Promthep dipandu dengan ambulans ke Hospital Kettering pada petang Ahad, kata jurucakap Perkhidmatan Ambulans East Midlands. Sebuah ambulans udara turut dihantar ke tempat kejadian.
Pada Ogos tahun lalu, rakan sepasukannya bergembira apabila Promthep, yang mereka panggil Dom, mengumumkan di Instagram bahawa beliau telah memperoleh biasiswa untuk menyertai Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House di Market Harborough.
Berita kematiannya diketahui umum selepas ibunya memaklumkan kuil Wat Doi Wao di kampung halamannya di Chiang Rai, Thailand.
Untuk rekod, pada tahun 2018, sebuah pasukan bola sepak remaja telah terperangkap selama dua minggu selepas mereka meneroka sebuah gua di Chiang Rai, Thailand. Usaha mengeluar dan menyelamatkan mereka yang terperangkap telah melibatkan kira-kira 10,000 individu. Kejadian itu juga telah mendapat laporan media dari seluruh dunia.
Baca: Dua Rakyat Malaysia Terkorban Di Krabi Selepas Bot Yang Dinaiki Terbalik