Sebagai ketua kampung, sudah semestinya perlu menjalankan tanggungjawab menjaga kemanan dan keharmonian kawasan rukun tetangga.
Ini termasuklah tugas untuk melindungi kawasan kampung daripada sebarang jenayah, kecurian dan sebagainya.
Namun, bagaimana pula kalau ketua kampung itu sendiri turut terlibat dalam melakukan kegiatan haram dalam kawasan kampung?
Seperti yang berlaku di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini, ketua kampung bersama lima lagi rakannya telah ditangkap dan direman oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian lembu di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, lapor Utusan.
Tak boleh diharap langsung.
Lembu diikat kaki dan ditutup kanvas
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, DSP Ahmad Pilus Zainal mengatakan kesemua suspek yang berumur lingkungan 35 hingga 50 tahun itu telah ditahan Isnin lepas selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki pada hari yang sama.
Terlihat sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat lelaki pada Isnin dalam keadaan mencurigakan di kawasan belukar berhampiran sebuah reban ayam.
Terdapat seekor lembu yang diikat kakinya dan ditutup dengan kanvas dalam kenderaan tersebut.
Menurutnya lagi, berlaku pertengkaran antara pengadu dan lelaki berkenaan sebelum lembu itu dilepaskan.
Ketua kampung turut dicekup
Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada hari yang sama dan polis berjaya mencekup enam orang lelaki termasuklah ketua kampungnya.
Berdasarkan semakan rekod jenayah lampau, dua daripada suspek memilik rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.
Kes ini juga disiasat mengikut seksyen yang sama atas kesalahan mencuri..
Bak kata pepatah, ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. .