Tahukah anda, warna kuku boleh menjadi petanda tentang tahap kesihatan kita? Menurut perkongsian Dr Samhan di Twitter baru-baru ini, anda boleh mengetahui tanda-tanda penyakit melalui warna kuku.
SEMAK PENYAKIT MELALUI WARNA KUKU?!😲
Ya betul! Jom ketahui penyakit melalui warna kuku anda!
Anda mungkin berasakan kuku tidak mendatangkan sebarang fungsi. Tetapi tahukah yang anda boleh mengetahui tanda penyakit melalui kuku? pic.twitter.com/2xvWtgOz2I
— Dr Samhan (@DoktorSamhan) February 5, 2023
Menurut beliau, kuku yang berwarna putih dengan rim gelap, ia mungkin menandakan anda mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan hati. Contohnya, penyakit hepatitis.
Selalunya, kuku anda menjadi warna kuning selepas anda memerap ayam dengan kunyit, namun jika anda tidak memasak dengan kunyit namun kuku tetap berwarna kuning, kuku anda mungkin telah dijangkiti kulat.
Dalam sesetengah kes yang terpencil pula, kuku kuning menunjukkan keadaan kesihatan yang serius seperti diabetes, psoriasis, tiroid dan penyakit paru-paru,” tambah Dr Samhan.
Selain itu, kuku yang pucat pula boleh menjadi tanda anda menghidap masalah malnutrisi, anemia atau kegagalan jantung kongestif.
Manakala jika kuku anda tiba-tiba berubah menjadi warna kebiruan (kuku bluish), ia bermaksud badan anda tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Masalah kuku kebiruan ini boleh dikaitkan dengan masalah paru-paru seperti emfisema (chronic obstructive pulmonary disease, COPD).
Difahamkan, kebanyakan masalah emfisema ini terjadi disebabkan tabiat merokok. Jadi, untuk kesihatan anda dan keluarga, berhentilah merokok.
Jika ada bengkak di sekitar kuku anda, ia mungkin berlaku akibat gangguan tisu penyambung atau masalah lupus.
Kalau di bawah kuku anda ada garis gelap, ia mungkin terjadi akibat melanoma iaitu sejenis kanser kulit.
Jadi, jika kuku anda ada tanda ini, anda dinasihati untuk segera berjumpa dengan doktor yang bertauliah secepat mungkin.
Kuku anda kering dan rapuh? Menurut Dr Samhan lagi, ia biasanya berhubung kait dengan penyakit tiroid.
Jika anda di antara ahli keluarga anda yang sering menggigit kuku pula, ia difahamkan merupakan simptom kebimbangan yang berterusan.
Individu yang mempunyai tabiat tersebut mungkin memerlukan rawatan.
Masalah permukaan kuku yang tidak rata atau anda rasa seperti ada lekukan kecil pada kuku, ia mungkin berhubung kait dengan keradangan arthritis.
Dalam masa yang sama, ia juga boleh menjadi petanda awal psoriasis.
Apa-apa pun, jangan buat diagnosis sendiri kerana artikel yang kami kongsikan ini hanyalah untuk menambah pengetahuan umum semua pembaca.
Segera berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami sebarang masalah kesihatan atau mempunyai warna kuku yang tidak normal.
Sumber: Twitter @DoktorSamhan