Bintang filem Harry Potter, Emma Watson berdepan tindakan undang-undang selepas didapati memandu melebihi had laju hingga menyebabkan lesen memandunya digantung selama enam bulan.
Memetik laporan CNN, pelakon berusia 35 tahun itu telah memandu sebuah Audi berwarna biru pada kelajuan 61 kilometer sejam di kawasan had laju 48 kilometer sejam di Oxford, England, dalam kejadian yang berlaku pada 31 Julai tahun lalu.
Artikel berkaitan: “Dipandu dua kali ganda had laju” – MOT Dedah Punca Nahas Bas Bawa Penuntut UPSI
Artikel berkaitan: Nahas Bas Pelajar UPSI: Lesen Pengendali Bas Dibatalkan Serta Merta
Walaupun tidak hadir ke Mahkamah Majistret Tinggi Wycombe bagi prosiding pada Rabu lalu, mahkamah tetap menjatuhkan hukuman denda sebanyak £1,044 (bersamaan kira-kira RM6,200) ke atas Watson.
Selain itu, lesen memandunya turut digantung secara automatik mengikut undang-undang jalan raya di United Kingdom.
Difahamkan, Watson sudah memiliki sembilan mata penalti pada lesen sebelum ini dan kesalahan terbaharu itu menyebabkan tiga mata tambahan dikenakan sekaligus mencukupi untuk menggantung lesennya selama enam bulan.