Semalam, seorang lelaki berusia 33 tahun telah ditahan selepas bertindak membunuh bekas tunangnya di sebuah pusat membeli belah terletak di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu.
Mangsa yang berusia 21 tahun telah ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan, dalam kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari itu.
Tak puas hati putus tunang jadi punca
Menurut Harian Metro, tidak puas hati kerana pertunangan diputuskan dipercayai telah menjadi motif lelaki tersebut menikam bekas tunang sehingga mati.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek, dua hari sebelum kejadian berkenaan terjadi atas sebab peribadi.
Suspek yang tidak bersetuju dengan keputusan itu walau bagaimanapun sering mengganggu mangsa sehingga mencarinya di tempat kerja dan mendesak agar hubungan mereka disambung semula.
Ketika kejadian, mangsa yang juga pembantu kedai aiskrim sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang dikenalinya selama setahun.
“Suspek dikatakan memujuk mangsa, namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu, menyebabkan suspek mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis juga memberitahu yang mangsa sempat menjerit minta tolong dan ia didengari anggota keselamatan yang bergegas ke tempat kejadian.
Saksi kemudian melihat mangsa terlantar di lantai dan suspek berdiri di sebelah mangsa sambil memegang sesuatu serta berlumuran darah.
Pihak keselamatan itu telah menghubungi polis dan suspek yang juga warga tempatan kemudian berjaya ditangkap di lokasi.
Dengan tertangkapnya suspek, kes tersebut dianggap selesai dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaan diambil. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Baca: Gadis Maut Ditikam Bekas Tunang, Ditemui Terlentang Atas Lantai Mall Di Kota Kinabalu