Baru-baru ini, tular sebuah berita di mana seorang bapa dilaporkan hilang, lebih merisaukan kereta yang dipandunya didapati telah ditemui rentung terbakar di tapak pembuangan sampah di Hutan Gubir, Sik dua hari lalu.
Mangsa yang juga bekas pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom berusia 62 tahun, didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.
Artikel berkaitan: Anak Risau Bapa Hilang Lebih 2 Minggu, Kereta Pula Ditemui Dalam Keadaan Hangus Terbakar
Artikel berkaitan: “Dia naik kereta Mercedes” – Bapa Hilang Mungkin Dilarikan Ke Hutan, Anak Cari Rakan Nama ‘Ramli’
Terbaru, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan penahanan seorang suspek wanita berusia 62 tahun untuk siasatan lanjut, ia susulan penglibatannya berikutan penemuan transaksi kewangan membabitkan akaun milik mangsa.
“Kita tidak dapat memberi maklumat lanjut berkaitan suspek kerana masih melakukan siasatan tetapi berdasarkan perkembangan kita yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin.
Kita juga telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Baling dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah melakukan siasatan menyeluruh berkenaan kehilangan mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata perkembangan siasatan kes itu akan dimaklumkan dari masa ke semasa supaya orang ramai juga dapat mengikutinya bagi mengelak spekulasi terhadap pihak polis yang didakwa lambat bertindak.
Sebelum ini, ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.
Sumber: Utusan Malaysia