Kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang hilang ketika di Festival Bon Odori di Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu lalu masih belum ditemui lagi.
Terbaharu, polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, tiga individu warga tempatan itu ditahan di sekitar Gelang Patah, jam 1.30 tengah hari.
“Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 28 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Artikel berkaitan: Ibu Kanak-kanak Perempuan Hilang Di Bon Odori Minta Jangan Kongsi Maklumat Tidak Tepat
Artikel berkaitan: Pihak Polis Minta Bantuan Orang Ramai Kesan Albertine Leo Jia Hui
Diklasifikasi kes culik
Menurut pihak polis, kes kehilangan kanak-kanak itu juga sudah diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Kes diklasifikasikan semua kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.
“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan ketiga-tiga individu itu akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (cm) dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.
Ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju T-shirt putih bergambar ‘Mickey Mouse’ dan berseluar pendek.
Sumber: Harian Metro