Awal pagi tadi, difahamkan ibu bapa kepada dua beradik yang meninggal akibat lemas telah ditahan dan jenazah kedua-dua mangsa katanya kini masih lagi ditempatkan di bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD) menunggu proses bedah siasat.
Hasil tinjauan Berita Harian, didapati suasana ruangan luar Jabatan Forensik HPD setakat tengah hari ini lengang dan tidak kelihatan mana-mana individu dari kalangan waris atau keluarga kedua-dua mangsa terbabit di sekitar kawasan berkenaan, begitu juga petugas hospital.
Artikel berkaitan: Beri Keterangan Meragukan, Ibu Bapa Dua Beradik Lemas Ditahan Polis
Artikel berkaitan: Dua Kanak-kanak Dikhuatiri Lemas Di Teluk Kemang Selepas Kereta Terjatuh Dalam Sungai
Terdahulu, polis telah menahan lelaki berusia 26 tahun yang disyaki bapa mangsa dan seorang wanita tempatan yang berusia 41 tahun disyaki ibu kepada dua beradik itu kerana memberi keterangan yang meragukan mengenai insiden berkenaan kepada pihak polis.
Kedua-dua suspek yang beralamat di Shah Alam, Selangor dilaporkan akan dibawa ke mahkamah di Seremban hari ini oleh polis untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pula dibawa ke HPD untuk bedah siasat.
Sumber: Berita Harian