in

Kes Culik Albertine Leo: Polis Tahan Semula Suspek Bagi Membantu Siasatan

Albertine Leo Jia Hui

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pihak polis telah menahan semula suspek yang terlibat dengan penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui yang hilang di Iskandar Puteri, 20 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, tangkapan tersebut dibuat bagi membantu siasatan susulan penemuan alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan-bahan penganiyaan seksual kanak-kanak.


Tambah pihak polis, kesemua peralatan tersebut ditemui di kawasan kediaman suspek yang terletak di Kulai, Johor.

“Polis Johor sahkan membuat tangkapan semula ke atas suspek lelaki tempatan yang sebelum ini ditahan berhubung kejadian culik di kawasan Eco Galeria, Iskandar Puteri, pada 20 Julai lalu.

“Siasatan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah, katanya menurut laporan Astro Awani.

Menurut Kumar, suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman baharu.

Artikel berkaitan: Albertine Leo Disatukan Dengan Keluarga, Saudara Kongsi Gambar Dengan Kanak-kanak Hilang

Artikel berkaitan: Albertine Leo Ditemui Selamat, ‘Disorok’ Penculik Dalam Hotel Bajet Dekat Batang Kali

Albertine
Albertine yang diculik di kawasan eco galeria, iskandar puteri, pada 20 julai lalu.

Dalam pada itu, pihak polis turut menasihatkan masyarakat terutamanya golongan ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan lebih awal dan penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Masyarakat perlu cakna terhadap tren jenayah masa kini dan menyampaikan kesedaran serta kebimbangan jenayah kepada anak-anak supaya mereka lebih berhati-hati dalam pergaulan terutama di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, tempoh reman suspek selama 13 hari bagi siasatan kes penculikan itu tamat hari ini dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki itu adalah suspek kelima kes penculikan Albertine Leo yang ditahan kira-kira 4.45 pagi, 23 Julai, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, ketika polis menyelamatkan kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.