Berita enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihukum gantung kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu pastinya memberi kelegaan buat keluarga mangsa dan juga rakyat Malaysia.
Keputusan tersebut dibuat sebulat suara melalui panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah Rayuan menyifatkan kes ini sebagai jenayah jahat, zalim & kejam paling jarang ditemui. Menurut Datuk Hadhariah, kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.
Artikel berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan: 6 Bekas Pelajar UPNM Dijatuhkan Hukuman Gantung Sampai Mati
Artikel berkaitan: “Trauma guna seterika, elak lalu UPNM” – Ibu Allahyarham Zulfarhan Tak Maafkan Pelaku
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
“Perbuatan OKT satu hingga lima menekap seterika di seluruh bahagian badan si mati (Zulfarhan) termasuk di kemaluan menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian.”
Zulfarhan’s parents as soon as they step out of the courtroom. @Scoopdotmy pic.twitter.com/DZ87EOLkzZ
— Farah S (@farahsolhi) July 23, 2024
Katanya, mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh itu dilakukan bukan sahaja mengejutkan hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani masyarakat.
“Ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka (ibu bapa) bila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh seolah-olah tubuh badan si mati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.”
Justeru, mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman sahaja yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh iaitu hukuman gantung sampai mati.
12 lagi penuntut dikenakan hukuman penjara 4 tahun
Sementara itu, Mahkamah Rayuan turut menaikkan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.
Sumber: Berita Harian