Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang peniaga wanita, Norshamira Zainal, 37, yang ditemui meninggal dunia di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, semalam.
Lebih menyayat hati, mayat mangsa ditemui oleh suaminya sendiri bersama bapa mentua serta beberapa individu lain yang keluar mencarinya selepas dia gagal pulang ke rumah seperti kebiasaannya.
Difahamkan, keluarga mangsa kemudiannya segera membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berjaya diberkas sekitar jam 5.30 pagi tadi di sebuah rumah di Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu.
Hasil daripada tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang peribadi termasuk sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan beberapa dokumen yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.
“Kami akan membuat permohonan tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya kepada media.
Artikel berkaitan: Peniaga Wanita Buat COD Makanan Dipercayai Dib*nuh, Mayat Ditemui Tepi Sungai
Artikel berkaitan: Kara Robinson: Kes Remaja Berjaya Lari Lepas Diculik Pembunuh Bersiri & Tolong Polis Bongkar 3 Pembunuhan Lain!
![peniaga](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2025/02/AL-SULTAN_ABDULLAH_RIAYATUDDIN_AL-MUSTAFA_BILLAH_SHAH_1739519837.webp)
Tambahnya lagi, dengan tertangkapnya suspek ini, pihak polis percaya kes pembunuhan tersebut hampir diselesaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini agar tampil membantu pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.
Mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran atau talian hotline yang disediakan.
Kes ini menggemparkan penduduk setempat kerana mangsa merupakan seorang peniaga makanan yang terkenal dengan perniagaan COD (cash on delivery).
Polis kini sedang menyiasat motif di sebalik kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan cubaan samun.
Pihak polis turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek dalam kes ini.
Kredit: Utusan Malaysia