Minggu lepas, berlaku satu kes kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh yang telah meragut nyawa tiga sekeluarga.

Suspek dipercayai lesap
Terbaharu, suspek bernama Azman Mohamed, 48, yang disyaki membunuh serta membakar sebuah rumah sehingga mengorbankan ibu, bapa serta anak saudara perempuannya, dipercayai sudah melarikan diri ke daerah lain.
Artikel berkaitan: Kematian Tiga Sekeluarga Akibat Rumah Terbakar Di Pagoh Kini Diklasifikasikan Sebagai Kes Bunuh
Artikel berkaitan: Kedai Nasi Kandar Di Bangsar Rentung, Mangsa Melecur 80% Dalam Kebakaran
Menurut Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya percaya suspek sudah tidak lagi berada di daerah berkenaan selepas kejadian itu berlaku.
Polis masih giat mengesan keberadaan suspek dan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut.
Usaha mencari suspek ini turut dibantu oleh penduduk kawasan Pagoh namun, mereka juga mempercayai dia telah menghilangkan diri.
Selepas kejadian itu, kelibatnya langsung tidak kelihatan. Penduduk ada juga mencari di sekitar kawasan Pagoh tetapi tidak menemuinya. Bukan itu saja, penduduk di sini turut mengawal kawasan rumah mangsa kerana bimbang sesuatu berlaku.

Suspek bawa motosikal Honda Wave
Dalam pada itu, suspek dikatakan sudah melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave berwarna merah, dakwa seorang penduduk yang enggan dikenali.
Azman yang masih bujang disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan penduduk setempat, juga tidak mempunyai telefon bimbit Dia antara individu terpenting dalam kes ini kerana tinggal bersama mangsa di rumah ibu bapanya itu.
Suspek dilaporkan hilang pada hari kejadian yang menyebabkan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri, Ara Abdul Hamid, 76 yang ditemui rentung dalam rumah mereka. Manakala Noradriana Nor Hasyim, 11 meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
Difahamkan, Noradriana berjaya diselamatkan oleh penduduk yang menyedari kebakaran itu, namun dilaporkan ada kesan kecederaan teruk pada muka seperti dipukul dengan objek tumpul. Kakaknya, Norazima Mohd Radhi, 14, turut memiliki kesan kecederaan di kepala dan tangan tetapi berjaya mendapatkan bantuan jiran.
Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kini pihak polis membuat kertas siasatan sebagai kes bunuh.
Sumber: Berita Harian