Kerajaan United Kingdom (UK) baru-baru ini mendedahkan mereka mengeluarkan hampir £162 juta (RM911 juta) bagi urusan pemakaman Ratu Elizabeth II serta acara-acara sampingan yang dilangsungkan sepanjang tempoh berkabung selama 10 hari.
Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan UK tersebut menjelaskan, pemakaman negara yang diadakan bermula 19 September 2022 itu berlangsung 11 hari selepas kematian baginda.
Sepanjang tempoh berkabung nasional berkenaan, Westminister Abbey iaitu tempat jasad baginda ditempatkan telah menjadi lawatan ratusan ribu orang dan menurut laporan, kos yang paling tinggi ditanggung oleh dua kementerian.
Kementerian yang dimaksudkan adalah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kebudayaan, Media dan Sukan iaitu sebanyak £74 juta (RM416 juta) dan £57 juta (RM321 juta).
Segala kos berkaitan pemakaman mendiang Elizabeth ditanggung oleh jabatan kerajaan. Antaranya termasuk sepanjang jasad baginda ditempatkan di St Giles Cathedral Edinburg iaitu tempat yang membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir kepada baginda.
Tambah Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan lagi, pada masa itu keutamaan kerajaan adalah memastikan acara berjalan dengan lancar, penuh penghormatan dan dalam masa yang sama memastikan keselamatan orang awam terjaga setiap masa.
Kenyataan bertulis yang disampaikan kepada Parlimen itu turut menyatakan kerajaan UK turut menyediakan pembiayaan tambahan pada saat-saat diperlukan selain telah menjelaskan perbelanjaan yang dikeluarkan terlebih dahulu oleh kerajaan Scotland, Wales dan juga Ireland Utara ‘sepenuhnya’.
Pun begitu, pendedahan berkenaan mencetuskan persoalan sama ada Britain mampu menanggung kos sedemikian kerana keadaan ekonomi sekarang yang menyaksikan inflasi yang tinggi.
Tidak kurang juga ada yang mempertikaikan perbelanjaan besar yang dikeluarkan untuk pemakaman berkenaan kemudian disusuli pula dengan pertabalan Raja Charles III awal bulan lalu ketika sebahagian besar penduduk negara berkenaan sedang bergelut bagi meneruskan kehidupan.
Pada 8 September 2022, kerajaan UK telah mengumumkan tempoh berkabung kebangsaan selama 10 hari susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II yang pada ketika itu berusia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland.
Jasad mendiang kemudian disemayamkan di St Giles Cathedral selama 24 jam sebelum dibawa ke Westminister Abbey bagi membolehkan orang awam memberikan penghormatan terakhir. Acara pemakaman diraja itu juga turut ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia.
Ia adalah pemakaman negara pertama sejak pengebumian bekas Perdana Menteri, Sir Winston Churchill pada 1965, yang menjadi acara penghormatan terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Baca : Ratu Elizabeth II Disemadikan Di Memorial King George VI Bersama Barang Kemas Kesayangan