Program Inspirasi Wanita: Womenpreneurs-Shaping The Future Economy yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dengan kerjasama Penang Women’s Development Corporation (PWDC) baru-baru ini telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri.
Program yang dirangka untuk membina platform perkongsian ilmu dan aspirasi daripada tokoh-tokoh bidang ekonomi untuk mengajak lebih ramai wanita menyertai sektor berkenaan secara tak langsung meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta mampu menyumbang sehingga 6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam ucapan perasmian baru-baru ini, YB Nancy berkata kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan ekosistem yang kondusif bagi pembangunan wanita dalam pelbagai bidang. Pelbagai inisiatif, program latihan dan geran telah disediakan untuk membantu wanita memulakan kerjaya, mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kemahiran.
Selain itu, YB Nancy juga menyeru golongan wanita untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diwujudkan ini.
Tambahnya lagi, dalam menyokong agenda pemerkasaan wanita, Kementeriannya telah melancarkan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030 dengan hala tuju yang jelas bagi pembangunan wanita melalui empat tonggak utama iaitu, ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan juga kesejahteraan.
Untuk tonggak ekonomi, tiga hasil utama yang disasarkan kementerian ialah :
- Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat kepada 60%.
- Skor penyertaan profesional wanita meningkat di bawah MCGI (Malaysian Gender Gap Indeks).
- 1 Juta usahawan wanita berdaftar menjelang 2030.
Tema program Inspirasi Wanita “Shaping The Future Economy” memfokuskan kepada pentingnya peranan wanita dalam sektor ini yang bakal membentuk landskap ekonomi pada masa hadapan.
Tambah Nancy lagi, pelbagai inisiatif dan program telah dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang ekonomi. Antaranya Program Laman Wanita (LaWa), LaWa On The Go, Program KIRANA dan Wanita Gig@BIT.
Pada masa ini, terdapat peningkatan penting dalam pembuatan keputusan dalam negara dimana, 38.9% jawatan tertinggi dalam sektor awam disandang oleh wanita, sementara perwakilan wanita dalam lembaga pengara Public Listed Company (PLC) pula mencecah 32.2%.
Sumber : KPWKM