Tular sebuah video yang memaparkan kelibat lelaki dan wanita dipercayai pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu sedang berhibur menonton konsert sambil menari beramai-ramai.
Video tersebut telah mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu yang akan menyiasat dakwaan penganjuran konsert hiburan yang dikatakan keterlaluan dibuat dalam IPTA terbabit.
Difahamkan, konsert melibatkan pencampuran lelaki dan perempuan itu telah melanggar Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu, lapor Kosmo!
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, siasatan akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap penyebaran video konsert berkenaan.
Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan berhubung sebuah video konsert yang tular di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Terengganu, baru-baru ini.
Sumber: Orang awam pic.twitter.com/3QMVjT2uSo
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) June 14, 2023
Beliau berkata, sekiranya benar, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di dalam kawasan kampus.
“Tidak sepatutnya berlaku kerana garis panduan (hiburan) bukan perkara baharu di Terengganu,” katanya.
Menurut Satiful, walaupun konsert itu diadakan dalam kawasan persendirian, pematuhan terhadap garis panduan syariah yang disediakan perlu dipatuhi.
“Saya rasa ia perlu ikut garis panduan yang sepatutnya walaupun dalam kawasan persendirian, ia masih lagi terikat dengan garis panduan dasar-dasar kerajaan negeri yang meletakkan asas pematuhan syariah,” katanya lagi.
Menerusi carian kami, konsert itu merupakan program Malam Galau dalam IPTA. Beberapa pihak telah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tatatertib kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert itu.
Baca: “Kelas perlu dikosongkan sebelum 5 ptg” – Kisah Tapak Seram Di UPSI, Pernah Temui 100 Mayat Manusia?