Sebuah Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 berkenaan tempoh cuti bersalin telah diluluskan oleh ahli Dewan Rakyat selepas memperoleh sokongan melalui undian suara.
Hasil daripada kelulusan Rang Undang-Undang tersebut, tempoh cuti bersalin kini dilanjutkan daripada 90 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti bagi pekerja lelaki dilanjutkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, pindaan yang dibuat itu bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin untuk menguruskan kelahiran anak dalam tempoh yang mencukupi.
“Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga,” ujar beliau dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.
Melalui pindaan ini juga, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam. Hal ini kerana pemberian cuti paterniti amat penting bagi memberi peluang para suami menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil, selain memainkan peranan penting bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
“Kementerian Sumber Manusia berpandangan adalah wajar bagi pekerja lelaki yang berkahwin diberikan cuti paterniti supaya mereka dapat bersama-sama isteri menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan bayi yang baru dilahirkan serta menyelesaikan urusan tertentu seperti urusan pendaftaran anak,” katanya lagi.
Di samping itu, Awang juga memaklumkan bahawa cuti paterniti diberikan kepada pekerja lelaki yang sudah berkahwin dan tidak terhad kepada satu isteri sahaja.
“Cuti ini hanya untuk pekerja lelaki yang sudah berkahwin dengan dengan pasangannya, bekerja 12 bulan dengan majikan yang sama dan memaklumkan kepada majikan 30 hari sebelum isteri bersalin. Cuti ini boleh diambil mulai dari hari isteri bersalin,” jelas Awang.
Akta Kerja atau Akta 265 ini digubal bagi memberi perlindungan dan kebajikan kepada golongan pekerja melalui penetapan terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan minimum, berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dilaporkan seramai 20 ahli Parlimen telah terlibat dalam membahaskan pindaan tersebut meliputi 46 fasal yang merangkumi, antara lain, 28 fasal pindaan, 10 fasal baharu dan enam fasal yang dimansuhkan.
Antara beberapa peruntukan baharu adalah fasal 13 iaitu larangan pemberhentian pekerja wanita hamil, fasal 23 iaitu cuti paterniti lelaki, fasal 27 iaitu aturan kerja fleksibel dan fasal 36 yang mewajibkan majikan agar mempamerkan notis pencegahan gangguan seksual di tempat kerja.
Sumber: Utusan
Baca: Suami Dibenarkan Teman Isteri Bersalin, Tertakluk Pada SOP KKM