Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini telah menetapkan tarikh 21 Julai nanti sebagai hari penentuan sama ada ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bebas atau bela diri.
Ia ditetapkan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas pendakwaan menutup kes mereka hari ini dengan 28 saksi dipanggil dalam 20 hari perbicaraan bermula 4 Februari lalu.
Artikel berkaitan : Pegawai Penyiasat Dedah Temui Kesah Darah Pada Bilik Air Rumah & Bilik Tidur Zayn Rayyan
Artikel berkaitan : Saksi Beritahu Ibu Zayn Rayyan Dibawa Keluar Lokap Untuk Lakonan Semula
Dalam pada itu, Dr Syahliza juga ada menetapkan tarikh lain iaitu pada 23 Mei untuk hujahan bertulis dan 6 Jun pula hujahan balas kedua-dua pihak.
“Mahkamah menetapkan keputusan pada 21 Julai ini dan sekiranya tertuduh-tertuduh dipanggil membela diri, perbicaraan bela diri bermula pada hari sama sehingga 24 Julai bagi menjimatkan masa.”
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada pihak mahkamah bahawa pendakwaan menutup kes mereka dengan saksi terakhir dipanggil memberi keterangan adalah bekas pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail.
Antaranya adalah seorang eksekutif jualan, Faizul Najib Abd Munaim yang menemui arwah Zayn Rayyan atas timbunan pasir di aliran sungai; pengasuh, Auni Afiqah Abas; guru prasekolah pendidikan khas, Siti Aminah Nor Mad Ali dan dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.
Malah, saksi lain yang terlibat adalah pakar patologi, Dr Rohayu Shahar Adnan, pakar pediatrik Dr Bernice Lim Pei-Yi dan dua lagi pegawai penyiasat yang menyiasat kes kehilangan kanak-kanak itu.
Dalam pada itu, pihaknya juga telah menawarkan 23 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya kedua-dua tertuduh dipanggil membela diri.
Pasukan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Sementara itu, untuk prosiding hari ini Ramzani memaklumkan bahawa pembelaan akan mengemukakan sebanyak tujuh saksi sekiranya anak guam mereka dipanggil membela diri.
Sumber : Harian Metro