Peristiwa Israk Mikraj ini antara detik paling besar dalam sejarah Islam yang sedikit sebanyak memberi kesan mendalam kepada keimanan umatnya. Ia juga menjadi antara bukti kekuasaan Allah serta kedudukan istimewa Nabi Muhammad SAW sebagainya utusan-Nya.
Di sebalik peristiwa yang luar biasa ini, tersimpan pelbagai pengajaran tentang kepercayaan, ketabahan dan hubungan hamba dengan Tuhan. Disebabkan itu jugalah, sehingga hari ini kita masih mengenangkan peristiwa Israk Mikraj ekoran nilai dan pengajarannya yang sangat istimewa buat umat Islam.
Artikel Berkaitan: Tanda-Tanda Kiamat Ada Depan Mata, Ini Isyarat Untuk Kita Sedar – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Bandingkan Nasib Rakyat Palestin Dengan Komuniti Cina Di M’sia, Portal Berita Mohon Maaf Atas Keterlanjuran Wartawan – Lobak Merah
Apa itu Israk Mikraj?

Israk Mikraj merupakan salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah Islam yang menjadi asas keimanan umat Islam. Ia berlaku dalam satu malam sebagai tanda kebesaran Allah SWT serta keistimewaan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.
Peristiwa ini merangkumi dua fasa utama. Israk merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa iaitu di Palestin, manakala Mikraj pula adalah perjalanan seterusnya apabila baginda diangkat ke langit hingga ke Sidratul Muntaha untuk menghadap Allah SWT.
Kisah Israk Mikraj ini juga disebut secara jelas dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’ ayat 1 yang menegaskan kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya.
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. ” (Firman Allah SWT)
Israk: Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa

Peristiwa Israk bermula apabila Nabi Muhammad SAW dibawa oleh Malaikat Jibril A.S. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq.
Sebelum memulakan perjalanan, hati baginda dibersihkan menggunakan air Zam Zam sebagai persiapan rohani bagi menghadapi peristiwa besar tersebut.
Sepanjang perjalanan, baginda telah singgah di beberapa tempat dan antaranya adalah Thaibah (Madinah), Bukit Tursina dan Baitul-Laham. Baginda juga sempat melihat pelbagai gambaran sebagai pengajaran, termasuklah keadaan kaum yang dilipat gandakan amalan pahala mereka kerana berjihad di jalan Allah.
Setibanya di Masjidil Aqsa, Nabi Muhammad SAW turun daripada Buraq dan memasuki masjid tersebut. Kemudian, baginda mengimamkan solat dua rakaat bersama para nabi dan rasul yang terdahulu sebagai makmum.
Selepas itu, Malaikat Jibril membawa dua bekas air yang berisi susu dan arak, lalu baginda pun memilih susu sebagai lambang fitrah yang sebenar dan pilihan itu dipuji oleh Malaikat Jibril kerana andai kata baginda memilih arak, maka ramai umat akan mudah tersesat.
Mikraj: Kenaikan Nabi Muhammad SAW ke langit

Selepas peristiwa Israk, bermulalah Mikraj yang mana baginda diangkat dari Masjidil Aqsa ke langit dengan menaiki tangga dari syurga sambil ditemani Malaikat Jibril.
Baginda telah melalui dari satu lapisan ke lapisan langit yang lain dan setiap langit tersebut, baginda sempat bertemu dengan para nabi terdahulu. Dalam perjalanan tersebut, baginda melihat umatnya sendiri, termasuklah 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Setelah melalui lapisan-lapisan langit, Nabi Muhammad SAW akhirnya diangkat hingga ke Sidratul Muntaha di mana baginda tidak lagi diiringi oleh Malaikat Jibril. Di sinilah baginda dapat menyaksikan Allah SWT dengan matanya sendiri serta menerima wahyu dan perintah secara langsung daripada Allah SWT termasuklah kewajipan menunaikan solat yang pada awalnya ditetapkan sebanyak 50 waktu.
Namun setelah dinasihati oleh Nabi Musa A.S., baginda memohon untuk mendapat keringanan kerana percaya umat Islam tidak mampu untuk melaksanakannya. Kemudian akhirnya solat dapat diringankan dan ditetapkan menjadi lima waktu sehari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Setelah itu, baginda pun pulang ke Masjidil Haram semula untuk disampaikan wahyu dan perintah Allah yang mana umat Islam diwajibkan untuk solat lima waktu.
Pada waktu itu juga, tak semua umat percaya dengan perintah yang disampaikan oleh Allah sehinggakan ada yang sanggup murtad daripada agama Islam.
Tetapi apabila khabar berita ini disampaikan pada sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq, beliau sedikit pun tidak meragui kisah tersebut. Malah, beliau sepenuhnya membenarkan cerita tersebut dan berkata kalau ada sesuatu yang lebih hebat daripada itu pun, beliau tetap akan percaya.
Disebabkan itu, beliau pun mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud ‘Yang Membenarkan’. Gelaran itu diberikan kerana sifat beliau yang percaya penuh pada Nabi Muhammad SAW terutamanya pada perkara ghaib atau mukjizat.
Kisah peristiwa Israk Mikraj ni bukan sahaja nak menceritakan kebesaran Allah SWT, tetapi juga untuk menegaskan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan-Nya yang paling mulia.
Semoga nilai dan pengajaran daripada peristiwa ini terus menjadi pedoman, menyinari kehidupan umat Islam dalam menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah SWT.
Sumber: eCentral
