Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbah asid pada Ahad lepas meluahkan rasa sedih atas apa yang menimpanya, semalam.
Perkara itu telah dikongsikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin selepas beliau menjadi antara individu terawal yang melawat Faisal di hospital.
Artikel berkaitan: Badan Melecur Akibat Asid, Keadaan Faisal Halim Tak Begitu Baik Selepas Pembedahan
Artikel berkaitan: Kes Simbah Asid Faisal Halim, Polis Tahan Suspek Lelaki Untuk Bantu Siasatan
“Kenapa mereka buat saya begini?”
Hamidin pada masa yang sama meluahkan rasa simpati dan sedih dengan apa yang menimpa Faisal dan memaklumkan pemain yang berusia 26 tahun itu juga masih dalam keadaan trauma.
Saya ada cakap dengan Faisal dan isteri dia, lupakan dulu mengenai bola kerana kesihatan lebih penting. Ada benda (percakapan dengan Faisal) saya tak boleh kongsi.
“Namun, dia (Faisal) menangis sambil kata ‘kenapa mereka buat saya macam ini’. Dia sedih, saya pun sedih tengok dia. Saya difahamkan doktor tengah tengok asid itu jenis macam mana, takut yang jenis makan dalam.
“Kita harap Faisal mendapat rawatan yang terbaik dan kembali pulih. Dua kejadian membabitkan dua pemain kebangsaan (termasuk Akhyar Rashid), kita sedih dan kesal benda ini terjadi. Semua pemain kena lebih berhati-hati,” katanya.
Faisal alami melecur tahap empat
Dalam perkembangan terbaru malam tadi, Timbalan Presiden Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar meminta orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan pemain tersebut supaya segera pulih.
Menurutnya, kecederaan yang dialami Faisal bukanlah biasa-biasa apabila dia disahkan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya ekoran disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali.
Kami bertemu dengannya (Faisal) di hospital pertama selepas dia dirawat. Dia boleh bercakap dan berkomunikasi, dalam nada yang rendah.
“Kemudian kelab memindahkannya ke hospital panel dan ketika itulah diberitahu dia perlu dibedah kerana keadaan kulitnya.
“Pada tengah hari Isnin, kami diberitahu ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Ia agak teruk. Dia tidak dapat rasa lengan kirinya.
“Akan ada pembedahan kedua atau lebih. Dia tidak dapat berkomunikasi dengan jelas selepas pembedahan (pertama) dan akan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sepuluh hari,” jelasnya.
Shahril juga berkata, Faisal yang dikenali sebagai Mickey itu juga perlu berada di hospital sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein memaklumkan bahawa suspek telah dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang dikenal pasti ketika serangan.
Beliau juga pada masa yang sama menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
Kita sama-samalah doakan yang terbaik buat Faisal. Semoga dia kuat hadapi dugaan ini.