Amir: Kau dekat mana dah tu, dah sampai ke?
Mutalib: Lagi 10 minit, aku dekat KESAS ni.
Amir: KESAS? Dekat mana tu?
Pasti anda pernah hadapi situasi seperti di atas sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Hanya tahu nama lebuh raya, tapi tidak tahu arah dan lokasi lebuh raya tersebut.
Usah risau, anda tidak keseorangan sebenarnya. Ramai lagi di antara kita yang tidak tahu arah destinasi lebuh raya di sekitar Lembah Klang. Lebih-lebih lagi jika lebuh raya tersebut terletak jauh daripada rumah.
Berikut adalah 8 lebuh raya di sekitar Lembah Klang yang sering digunakan oleh orang ramai.
1. KESAS
Konsortium Expressway Shah Alam Selangor atau lebih dikenali sebagai KESAS adalah lebuh raya yang menghubungkan pusat industri dan penempatan di sekitar Lembah Klang.
Antara kawasan yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Cheras, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.
Lebuh raya ini sering digunakan buat mereka yang mahu menuju ke Bukit Jalil, TBS dan Puchong.
2. LDP
Lebuh raya Damansara-Puchong, atau lebih dikenali sebagai LDP menghubungkan kawasan di sekitar Damansara dan Puchong. Dibina sepanjang 40 kilometer, LDP turut menyediakan kemudahan untuk mengakses lebuh raya lain seperti NPE dan MRR2.
3. NPE
New Pantai Espressway (NPE) atau dalam bahasa Melayu, Lebuh Raya Pantai Baru menghubungkan beberapa kawasan seperti Kuala Lumpur, Subang Jaya dan Bandar Sunway.
Difahamkan, tujuan utama pembinaan lebuh raya ini adalah untuk mengurangkan kesesakan di Federal Highway.
4. Sprint
Lebuhraya Sprint atau nama panjangnya, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat dibina sepanjang 26.5 kilometer.
Lebuh raya ini sedikit mengelirukan kerana ia terbahagi kepada 3 bahagian. Kerinchi Link, Damansara Link dan Penchala Link adalah sebahagian daripada Sprint. Lepas ni jangan keliru okay!
5. MEX
Maju Expressway atau MEX menghubungkan kawasan Kuala Lumpur ke Putrajaya dan juga KLIA. MEX pernah dikenali sebagai Kuala Lumpur-Putrajaya Expressway (KLPE) dahulu.
Buat mereka yang mahu menuju ke Sepang, Putrajaya, KLIA dan Mitsui Outlet, inilah jalannya!
6. LATAR
LATAR atau nama panjangnya, Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway dibina sepanjang 32 kilometer. LATAR menghubungkan Ijok di Kuala Selangor sehingga ke Rawang.
7. Lebuh raya Persekutuan
Rasanya, lebuh raya ini yang paling popular buat penduduk di sekitar Lembah Klang. Lebuh raya persekutuan atau Federal Highway menghubungkan Kuala Lumpur dan kawasan di sekitar Klang.
8. MRR2
Siapa yang menetap di Kuala Lumpur, pasti tahu akan MRR2 ini. MRR2 atau nama panjangnya, Middle Ring Road 2 ini dibina sepanjang 65 kilometer dan turut menghubungkan beberapa lebuh raya lain.
Difahamkan, MRR2 sebenarnya adalah sebuah bulatan besar yang menghubungkan kawasan padat di sekitar KL dan Selangor.
Jadi selepas baca artikel ini, lebuh raya mana yang anda pernah guna?
Sumber: The Lorry
BACA: Lebuh Raya Dibina Hanya 50 Sentimeter Dari Rumah, Kerajaan Mesir Dikritik