The Conjuring boleh dikatakan sebagai salah satu francais filem paling seram yang pernah dibuat. Apa yang membuatkan ia lebih seram dari filem-filem lain yang pernah ada ialah kita tahu bahawa cerita-ceritanya berdasarkan kisah benar.
‘Rumah Conjuring’ yang jadi inspirasi kepada filem pertama The Conjuring kini boleh dilawati oleh peminat-peminat. Selain itu, siapa yang pergi ke sana mungkin berpeluang untuk bercakap sendiri dengan hantu yang tinggal di sana, Abigail Arnold.
Abigail Arnold merupakan salah satu roh yang dikatakan telah menghantui rumah ladang Burrillville di Rhode Island. Menurut pemilik rumah tersebut, Abigail merupakan hantu yang tak merbahaya dan sering memberitahu pengunjung sekiranya ada kehadiran roh jahat.
Dikatakan juga, Abigail selalu cium anak-anak keluarga Perron untuk mengucapkan selamat malam ketika mereka tinggal di sana pada sekitar tahun 1970-an. Pun begitu, anak sulung mereka, Andrea Perron mengatakan bahawa Abigail juga bertanggungjawab atas kejadian-kejadian menakutkan yang menggangu keluarganya ketika tinggal di sana.
Artikel berkaitan: The Conjuring: Kisah Benar The Perron Family & Rumah Berhantu Enfield Ni Rupanya Lagi Seram Dari Movie!
Artikel berkaitan: Kisah Pembunuhan Arne Johnson Yang Menjadi Inspirasi Filem ‘The Conjuring: The Devil Made Me Do It’
Jadi siapa sebenarnya Abigail Arnold ni dan kenapa rohnya dikatakan masih menghantui rumah tersebut sehingga ke hari ini? Kalau nak tahu, baca artikel dekat bawah ni.
Lagenda Abigail Arnold
Di dalam filem The Conjuring nama Abigail Arnold tak pernah disebut. Filem ini sebaliknya fokus kepada roh jahat seorang wanita bernama Bathsheba Sherman yang dikatakan telah menggunakan ilmu hitam dan membunuh bayinya sebelum menggantung dirinya di pokok di laman rumahnya.
Namun begitu, di dalam laman web rasmi Rumah Conjuring ada menyebut Abigail Arnold dengan mengatakan bahawa wanita ini merupakan anak kepada Martha Hopkins dan Sylvanus Cook. Pada tahun 1795 di usia 19 tahun, Abigail telah berkahwin dengan seorang petani bernama John Arnold dan merupakan pemilik Rumah Conjuring pada ketika itu.
Sepanjang bersama, pasangan ini dikatakan telah memiliki seramai 14 orang anak dan membesarkan mereka di rumah tersebut sepanjang abad ke-19. Abigail dikatakan telah hidup selama 93 tahun namun rohnya dikatakan tak pernah meninggalkan rumah tersebut.
Laman web tersebut juga turut mendakwa bahawa Abigail sering memberikan amaran kepada tetamu-tetamu yang datang ke rumah tersebut sekiranya terdapat kehadiran roh jahat dan meminta agar orang yang datang ke rumah tersebut untuk menghormati rumahnya.
Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang tak konsisten dalam cerita mengenai Abigail Arnold ini. Antaranya:
Pada tahun 1971, keluarga Perron telah berpindah masuk ke Rumah Conjuring. Ketika di sana, anak-anak mereka mendakwa yang ada hantu wanita yang mempunyai bau seperti bunga dan buah telah datang ke bilik mereka setiap malam untuk tidurkan mereka dan cium mereka.
Beberapa tahun kemudian, Andrea Perron mendakwa bahawa hantu tersebut mungkin Abigail Arnold. Di dalam buku yang ditulisnya pada 2011 bertajuk House of Darkness House of Light, dia mengatakan:
Yang pasti, beberapa abad yang lalu, Mrs John Arnold telah membuat keputusan untuk membunuh dirinya di usia 93 tahun dan mayatnya ditemui dalam keadaan sejuk dan kelabu dengan badannya yang kejung seperti kayu tergantung di bumbung kandang rumah.”
Tapi menurut Kenny Bidle yang menulis buku Skeptical Inquirer pada tahun 2019 mengatakan bahawa sejarah melaporkan bahawa “Mrs John Arnold” memang ditemui mati kerana menggantung dirinya pada 1866 tapi ketika itu dia baru berusia 50 tahun.
Di dalam laman web Rumah Conjuring, terdapat seorang lagi wanita bernama Abigail Cook Arnold yang meninggal tiga tahun kemudian pada usia 93 tahun di kawasan Burrillville, Rhode Island. Tapi sebab kematian hanya diletakkan sebagai “usia tua”.
Biddle mengatakan bahawa Mrs John Arnold yang ditemui tergantung itu mungkin merupakan seorang wanita bernama Susan Arnold di mana suaminya, John Arnold telah menemuinya tergantung dari penyangkut almari dengan wayar kecil pada tahun 1866.
Cerita dari buku Andrea dilihat telah menggabungkan kehidupan Susan Arnold dan Abigail Cook Arnold dan menyarankan bahawa Abigail Arnold telah menghantui Rumah Conjuring kerana dia telah membunuh diri. Namun begitu, Susan Arnold, wanita yang sebenarnya meninggal dunia kerana menggantung dirinya sendiri tinggal di rumah lain yang terletak beberapa batu jauh dari Rumah Conjuring.
Jadi, disebabkan tak ada Abigail Arnold lain yang pernah membunuh diri semasa tinggal di sana, Mrs Arnold yang menghantui Rumah Conjuring mungkin merupakan Abigail yang meninggal dunia kerana sakit tua pada usianya 93 tahun pada tahun 1869.
Abigail Arnold ni roh baik atau jahat
Lebih mengelirukan, terdapat beberapa perkara yang tak konsisten melalui cerita Andrea Perron tentang Abigail Arnold.
Di dalam dua bukunya, Andrea percaya bahawa Bathsheba Sherman merupakan roh jahat yang telah mengganggu keluarganya dan turut mengatakan yang Bathsheba merupakan seorang ahli sihir yang jahat dan rasa tergugat dengan kehadiran ibunya, Carolyn.
Sementara itu, Andrea telah menggambarkan roh Mrs Arnold sebagai seorang yang menyenangkan dan mengambil berat serta tak berniat untuk menakutkan atau mengganggu mereka.
Di dalam bukunya juga, Andrea mendakwa bahawa Bathsheba mungkin merupakan salah seorang dari keluarga Arnold. Tapi laporan mendapati bahawa Bathsheba merupakan anak kepada Ephraim Thayer dan Hannah Taft dan dia juga tak ada kena mengena dengan Arnold.
Selain itu, tak ada bukti yang menunjukkan bahawa Bathsheba merupakan seorang ahli sihir atau pernah membunuh anaknya sendiri.
Pada tahun 2014, ketika Andrea mengeluarkan buku ketiga tentang gangguan di Rumah Conjuring, wanita ini mempunyai pendapat yang lain. Dia mengatakan bahawa Lorraine Warren telah tersilap menamakan Bathsheba Sherman sebagai roh yang menggangu keluarganya selepas dikatakan mendengar nama tersebut di dalam bayangannya semasa menyiasat kes Perron.
Menurut Andrea, entiti yang mengganggu dan menghantui ibunya itu patah leher dan mungkin Mrs Arnold yang ditemui tergantung pada tahun 1797.
Tapi kenyataan ini tetap menjadi isu kerana tak ada laporan mengenai Mrs John Arnold yang ditemui tergantung di kandang pada tahun 1797.
Tapi yang pasti, memang terdapat Abigail Arnold yang tinggal di Rhode Island di antara abad ke-18 dan 19. Tapi betul ke rohnya masih menghantui Rumah Conjuring? Perkara tersebut masih kekal misteri.
Sumber: ati