Tidak dinafikan, banyak kes melibatkan pelajar tahfiz yang menjadi mangsa dera dan buli. Lebih memilukan apabila ada kes yang melibatkan antara tenaga pengajar dan pelajar.
Disebabkan terlalu banyak kes seperti ini juga membuatkan orang ramai mempunyai sikap prejudis terhadap sekolah tahfiz.
Seorang pengadu mendedahkan pelajar dipukul dan dipaksa tidur di dalam tandas oleh tenaga pengajar di sebuah sekolah tahfiz tidak berdaftar di Selangor sejak beberapa tahun lalu.
Artikel berkaitan: Berjaya Hafal 6 Juzuk Al-Quran Dalam Tempoh Setahun, Marissa Antara Pelajar Berjaya Di Maahad Tahfiz As Sofa
Artikel berkaitan: “Terkejut tgk anak takut, menangis” – Buka Pusat Tahfiz Secara Haram, Pasangan Suami Isteri Kantoi Dera Pelajar
Menurut Harian Metro, kejadian pukul berlaku sejak lebih setahun lalu membabitkan tenaga pengajar kanan di madrasah berkenaan yang sudah ditahan polis, baru-baru ini.
Sumber memberitahu pelajar telah disepak dan dipukul ustaz terbabit ketika sedang belajar, hujung tahun lalu.
Dedahnya, madrasah itu terkenal dengan pelbagai program dakwah membabitkan individu yang mengaku sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW dikatakan tidak menyediakan prasarana lengkap seperti pusat pengajian lain.
“Mangsa tidak berani buat laporan polis kerana bimbang dimarahi serta tiada pilihan, selain terus tinggal di situ kerana masalah keluarga.
“Ada yang memaklumkan kepada pelajar lain mengenai nasib mereka termasuk pelajar yang dipaksa tidur di tandas kerana buat salah. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada institusi agama,” kata sumber.
Cerita pengadu, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila didatangi ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan keadaan anak mereka beberapa bulan lalu.
“Saya terkejut apabila mendapati pelajar di sini terpaksa menahan lapar kerana tidak diberikan makanan seperti sepatutnya.
“Malah, ketika lawatan seorang ustaz lain, saya dimaklumkan bahawa bacaan al-Quran pelajar di sini juga tidak tepat.
“Tidak cukup dengan itu, saya dimaklumkan pelajar ada rakan-rakan mereka dipukul ustaz di sini,” katanya.
Sehubungan itu, dia terpanggil untuk membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sementara itu, Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu serta memeriksa status madrasah terbabit.
Sumber: Harian Metro