Kementerian Perpaduan Negara (KPN) secara rasmi menetapkan hala tuju strategik bagi tahun 2026 dengan memperkenalkan lima kluster utama. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh pembinaan negara bangsa dan menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyatakan bahawa gerak kerja ini merupakan persediaan penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan perpaduan sebagai tonggak utama pembangunan negara.

Lima Kluster Utama MADANI 2026
Pelaksanaan program-program kementerian sepanjang tahun ini akan dipacu melalui lima teras berikut:
-
Tunas MADANI: Fokus kepada pembentukan generasi muda yang patriotik dan menjadi ejen perubahan sosial yang harmoni.
-
Komuniti MADANI: Mengangkat peranan institusi akar umbi dan memperkukuh jaringan kejiranan (seperti KRT) sebagai pemangkin perpaduan.
-
Harmoni MADANI: Menitikberatkan kerukunan antara penganut pelbagai agama bagi menjamin kestabilan negara melalui semangat saling menghormati.
-
Rakyat MADANI: Menyediakan platform untuk meraikan kepelbagaian seni, budaya, dan perayaan kaum bagi memupuk rasa kebersamaan.
-
Warisan MADANI: Usaha memelihara khazanah budaya dan identiti negara agar akar sejarah terus diperkukuh untuk generasi masa hadapan.
Penerbitan ‘Blueprint’ Negara Bangsa

Selain pelaksanaan program, Datuk Aaron turut memaklumkan bahawa KPN mensasarkan pembangunan satu dokumen rujukan penting atau blueprint pembangunan negara bangsa.
“Yang paling penting bagi kita adalah amanat yang kita telah diberi dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) iaitu pembinaan negara bangsa dan kita telah berusaha untuk mengadakan beberapa libat urus menjurus kepada aktiviti kita untuk program-program”
Tambah Aaron lagi, dokumen ini bakal dihasilkan melalui siri bengkel dan persidangan bagi memastikan agenda perpaduan negara berjalan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Sebagai rekod, KPN telah menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun 2025 dengan pelaksanaan 762 program perpaduan di seluruh negara serta pemerkasaan 301 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif.
Sumber : Awani
