Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung satu rakaman audio yang tular, melibatkan seorang guru yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang pelajar sekolah menengah.
Guru tersebut dipercayai menyuruh pelajar itu “balik ke China” kerana tidak memahami bahasa Melayu.
Memetik laporan Malaysia Kini, KPM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan bersifat perkauman dalam ekosistem pendidikan negara.
Sebagai langkah susulan, satu pertemuan dengan ibu bapa pelajar terlibat telah dirancang bagi mencari penyelesaian, selain menyediakan khidmat sokongan psikososial kepada pelajar berkenaan.
Rakaman audio yang tular itu memperdengarkan perbualan telefon antara seorang lelaki, yang mendakwa sebagai saudara pelajar terbabit dengan guru tersebut.
Artikel berkaitan: Tangan Murid Tertus*k Besi Pemegang Tangga Berkarat Di Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Perak Diminta Buat Siasatan
Artikel berkaitan: Pengsan Ketika Berjalan Ke Kantin, Pelajar Tingkatan 2 Di Melaka Meninggal Dunia
Dalam perbualan itu, guru berkenaan mengakui mengeluarkan kenyataan tersebut dan turut melabelkan pelajar itu sebagai “bodoh” serta menyuruhnya “duduk dekat tong sampah”.
Difahamkan, ini bukan kali pertama guru berkenaan berkelakuan sedemikian, namun tiada aduan rasmi pernah dibuat sebelum ini.
Guru tersebut juga dipetik berkata bahawa ibu bapa pelajar yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu adalah satu masalah besar.
Dalam rakaman yang sama, guru itu turut mengancam untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana lelaki yang menghubunginya enggan mendedahkan identiti, sekali gus dianggap menceroboh privasinya.
Dia juga mendakwa sedang bercuti sakit dan memberi amaran bahawa suaminya bersama pihak polis boleh mengesan nombor telefon lelaki berkenaan.