Tiga beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka terlibat dengan kemalangan sebuah kereta pacuan empat roda di Kampung Sungai Lerek, Kilometer 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Menurut laporan Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata mereka yang terkorban dalam kemalangan pada 4.50 pagi itu ialah pasangan suami isteri Kamarudin Ibrahim, 55, dan Maimunah Mat Isa, 54, serta anak mereka Nur Ardieana Kamarudin, 30 yang memandu kenderaan itu.
Artikel berkaitan: Kawan Kemalangan Sebelum Konvo, Netizen Terharu Lihat Graduan Buat ‘Pre-Convo’ Di Hospital
Artikel berkaitan: Video Tular Kemalangan Maut Adik Naura, Pemandu BMW Didakwa
“Maimunah dan Nur Ardieana maut di tempat kejadian manakala Kamarudin disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Setiu.
Seorang lagi anak pasangan terbabit Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, yang duduk di kerusi penumpang belakang sebelah kiri mengalami kecederaan parah manakala pemandu dan seorang penumpang kenderaan Toyota Hilux pula mengalami cedera ringan,” katanya.
Terbaru, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu difahamkan sudah selamat menjalani pembedahan kepala, abang ketiga graduan Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) tersebut, Ahmad Kamarul Syafieq, 28, berkata, adik bongsunya belum sedarkan diri dan masih dalam pemantauan doktor.
Ahmad Kamarul berkata apabila Nur Azwa Shamimi sudah sedar nanti, mereka masih belum bersedia memaklumkan berita kematian ibu bapa dan kakak kepada gadis tersebut.
Sebaliknya, dia dan keluarganya yang lain hanya memastikan pemulihan satu-satunya saudara perempuan mereka yang tinggal.
Sumber: Kosmo!, Astro AWANI