Petang semalam, kita semua dikejutkan dengan kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh apabila sebuah lori dipercayai hilang kawalan telah melanggar lima kenderaan lain.
Kemalangan yang tular di media sosial ini turut menunjukkan rakaman dashcam dari salah sebuah kenderaan yang berada di tempat kejadian memperlihatkan lori tanpa muatan tersebut telah datang dari arah belakang dan merempuh lima kenderaan di hadapannya yang berhenti di lampu isyarat merah.
Kalau korang tengok gambar-gambar yang viral semalam, korang mesti nampak salah satu kenderaan iaitu Perodua Myvi berwarna kuning dilihat remuk teruk akibat disondol lori tersebut.
Walaupun keadaan kereta Myvi tersebut teruk, pemandunya selamat keluar sendiri dari kenderaannya dengan bantuan orang ramai dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pemandu lori positif dadah
Menurut FMT, pemandu lori yang bertanggungjawab atas kemalangan petang semalam itu telah disahkan positif dadah methamphetamin dan amphetamin.
Dalam satu kenyataan dari Ketua Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Lalu Lintas, Sarifudin Mohd Salleh berkata siasatan dalaman menunjukkan pemandu lori tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Sentul ketika kemalangan tersebut berlaku.
Semasa di lampu isyarat Jalan Ipoh, lori yang terlibat itu telah hilang kawalan dan merempuh lima kenderaan lain.
“Kenderaan lain yang terlibat adalah Myvi berwarna kuning, Proton X70, Honda HRV, Peugeot 208 FL dan Myvi Putih.
“Pemandu Myvi kuning hanya mengalami kecederaan ringan di muka dan telah pun menerima rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur manakala pemandu lain tak mengalami apa-apa kecederaan serius dan telah pun menerima rawatan dan dibenarkan pulang.”
https://www.facebook.com/romyirwanshah81/posts/2239746862833984
Berdasarkan ujian yang dibuat, pemandu lori tersebut didapati tidak mabuk tetapi di bawah pengaruh dadah dan kes ini sedang disiasat sebagai kes memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.