Bapa kepada suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah mendedahkan pihaknya sudah melantik peguam dari Selangor bagi mewakili anaknya dalam siasatan dan perbicaraan kes itu kelak.
Selain itu, bapa suspek mendakwa pihak polis juga telah memeriksa dan mengambil telefon bimbit isteri suspek untuk siasatan berkaitan termasuk mesej dihantar mangsa.
“Berani buat, berani tanggung”
Bercakap mengenai suspek, lelaki yang berusia 64 tahun itu mengatakan dia lebih mengenali anaknya yang disifatkan sebagai amat berdisiplin dan suka bergurau.
Artikel berkaitan: “Silap anak saya, dia ambil tindakan sendiri” – Bapa Suspek Bunuh Nur Farah Kartini
Artikel berkaitan: Kronologi Penuh Kes Kehilangan & Pembunuhan Nur Farah Kartini Setakat Ini
Dia juga menegaskan bahawa dia tidak pernah mendidik anaknya dengan cara yang salah. Namun, percaya apa yang dilakukan oleh anaknya itu atas perbuatannya sendiri.
“Siapa yang tidak sayang anak dan pada saya tiada yang pelik mengenai perangainya.
“Saya tidak pernah didik dia yang bukan-bukan, apa yang berlaku ini adalah atas dirinya sendiri, berani buat berani tanggung.
“Namun, saya kena tabah dan berbuat seperti tiada apa yang terjadi untuk terus berkerja. Takdir penentu segalanya, apa saya nak buat, perkara terjadi bukan di depan mata dan boleh saya halang,” katanya.
Dalam pada itu, dia yang bekerja sebagai petani tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang susulan penyebaran maklumat siasatan termasuk gambar anaknya berserta komen berbaur cacian.
Katanya, dia ada terbaca pelbagai komen terhadap anaknya dan berharap orang ramai menunggu sehingga siasatan kes selesai.
“Setiap perbuatan ada balasannya, buat baik dapat baik dan sebaliknya, itu saja saya nak cakap,” katanya.
Semalam, pihak polis telah menjumpai bukti penting iaitu telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini yang ditemui di kawasan parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.
Sumber: Berita Harian