Gara-gara melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh penularan COVID-19, 50 individu berdepan pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakan dalam hidup mereka.
Memetik laporan CNN Indonesia, 50 penduduk di sebuah perkampungan di Sidoarjo, Jawa Timur dihukum melakukan tahlil dan berdoa di tanah perkuburan yang menempatkan jenazah korban COVID-19.
Hukuman itu dibuat kerana kesemua mereka didapati tidak memakai topeng pelitup muka ketika berada di tempat awam.
Selain mengenakan denda, pihak berkuasa turut merampas kad pengenalan mereka untuk disita selama 14 hari.
Difahamkan, operasi pemantauan seringkali dilakukan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan penduduk Sidoarjo bagi memastikan kempen kesedaran mengenai pematuhan SOP terus berjalan.
Selain di Sidoarjo, denda seumpama itu turut dilaksanakan di beberapa daerah antaranya di Bogor, Jawa Barat namun dengan pendekatan berbeza.
Di Bogor misalnya, mana-mana individu yang didapati ingkar perintah dan tidak mematuhi SOP akan dihukum duduk di dalam ambulans yang berisi keranda.
Baca: Polis India Heret Individu Ingkar Perintah Berkurung Masuk Ambulans Bersama Pesakit COVID-19