Mungkin ramai dah tahu fail kes 1MDB berstatus RAHSIA bertahun-tahun dulu kini sudah boleh diakses dan akan disiasat dengan lebih lanjut. Satu lagi insiden besar yang berlaku beberapa tahun dulu adalah kes kehilangan MH370.
Selepas empat tahun, Vice melaporkan pakar membuat kesimpulan bahawa kehilangan MH370 bukanlah satu kemalangan.
“Kehilangan MH370 adalah perbuatan manusia,” kata penyiasat kemalangan udara Larry Vance.
Dalam satu rancangan berjudul 60 Minutes, pakar dari seluruh dunia dibawa untuk berdebat tentang penemuan mereka. Lima orang pakar ini sepakat mendakwa juruterbang Malaysia Airlines, Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan sengaja menerbangkan kapal terbang keluar laluan dan dihempaskan ke laut, lapor Vice.
Berdasarkan perbincangan pakar-pakar tersebut, ini empat kesimpulan yang dibuat:
1. MH370 memadamkan sistem komunikasi secara manual
Sebelum terbang melepasi ruang udara Thailand dan Malaysia menuju selatan, pakar menyatakan bahawa sistem komunikasi kapal terbang tersebut telah dipadam secara manual. Namun, tiada komunikasi di antara kapal terbang dan pengawal trafik udara dilakukan. Sebarang panggilan kecemasan juga tidak dibuat.
Kapten Simon Harvey, seorang juruterbang British yang familiar dengan operasi menerbangkan Boeing 777 berkata bahawa misi tersebut ‘dirancang dengan teliti untuk menghilangkan kapal terbang’, termasuk terbang di sempadan Malaysia-Thai bagi mengelakkan mana-mana pihak mengambil tindakan.
“Kalau saya diarahkan untuk hilangkan Boeing 777, saya akan buat benda yang sama,” kata Simon.
2. Lencongan aneh di Pulau Pinang
Berdasarkan pemerhatian Simon lagi, MH370 ada membuat lencongan aneh di Pulau Pinang. Kenapa Pulau Pinang? Negeri ini rupanya kampung halaman Kapten Zaharie. Macam kapal terbang yang selalunya akan lalu kat ruang udara lokasi-lokasi popular supaya penumpang boleh tengok tempat tu dengan lebih jelas, Simon yakin bahawa Zaharie nak ucapkan selamat tinggal kali terakhir kat kampung halaman dia.
3. Bahagian sayap kapal terbang dijumpai di Lautan Hindi
Apa yang paling pelik dalam hal ni, Larry memberitahu tentang satu bahagian sayap kapal terbang (flaperon) yang kononnya bukti kehilangan MH370. Flaperon tersebut dijumpai jauh di Lautan Hindi dan masih dalam keadaan baik. Menurut Larry, ini bermaksud kapal terbang tersebut menyentuh air laut dengan perlahan dalam keadaan yang teratur.
“Apabila Swissair 111 jatuh ke dalam lautan dengan kelajuan tinggi di Nova Scotia, ia meletup akibat tekanan hidrodinamik yang memberi kesan kepada air dan jadi hancur lebur,” kata Larry.
“Dalam kes MH370, seluruh flaperon tu dijumpai. Jadi mungkin ada sedikit keraguan kat juruterbang tu di akhir penerbangan.”
4. Juruterbang mungkin meninggalkan semua penumpang di lokasi rahsia
Larry juga berpendapat bahawa Kapten Zaharie sengaja melepaskan tekanan gas kapal terbang untuk membuatkan penumpang dan staff tidak sedarkan diri sebelum menghempas kapal terbang ke satu lokasi yang dia pasti tidak akan ditemui sesiapa.
“Tidak ada sebab untuk tak percaya bahawa juruterbang tu lepaskan tekanan gas kapal terbang untuk melemahkan penumpang,” lapor Independent.
Simulator penerbangan di rumah Zaharie pula mengandungi bukti yang mengatakan bahawa dia ada menggunakan software simulator untuk melalui ruang udara Lautan Hindi yang telah dipadamkan.
“Kes MH370 ni senang je. Sama ada ia satu tindakan jenayah ataupun tidak,” kata Larry.
“Bukti menunjukkan memang sah ia satu kelakuan jenayah, dilakukan oleh seseorang. Juruterbang pesawat dengan mudah boleh laksanakannya,” kata Larry lagi.
Semoga kes ini disiasat dan diselesaikan dengan jawapan yang pasti. Ahli keluarga mangsa berhak untuk mengetahui tentang kes sebenar yang menyebabkan MH370 hilang.
Baca: 5 Tragedi Pesawat Terhempas Menggemparkan Negara dan Masih Kekal Misteri Hingga Kini