Kisah seorang bekas peserta program Pencetus Ummah yang dilapor telah menceraikan isterinya untuk menikahi seorang janda terus menjadi tumpuan.
Rata-rata yang mengikuti isu ini, meluahkan rasa sedih dan simpati mereka terhadap si isteri yang ditinggal begitu sahaja dalam keadaan dia sedang sarat mengandungkan zuriat berusia tujuh bulan.
Perkara ini, sudah pun diakui oleh tuan empunya badan sendiri.
Isteri mana yang tidak pilu, apabila si suami mudah berubah hati dan berpaling kasih terhadap wanita lain kan? Nak ulas panjang pun, agak berat hati juga dibuatnya kerana ini melibatkan hal peribadi orang lain.
Jadi kita kongsikan terus je la satu entry yang dimuatnaik oleh seorang pendakwah bebas yang sejuk mata memandang, dan memang terkenal sebagai seorang individu yang rajin turun padang menyantuni golongan-golongan terpinggir dalam masyarakat kita.
Siapa lagi kalau bukan Ustaz Ebit Lew.
https://www.facebook.com/ebitlew/posts/2171084989676439
Menerusi satu perkongsian di laman Facebooknya hari ini, Ustaz Ebit meluahkan rasa sedih jika beliau terbaca kisah-kisah kaum isteri diceraikan sewaktu sedang hamil — hanya kerana si suami ingin melampiaskan nafsunya memiliki seorang lagi isteri lain.
Beliau turut mengakui sudah seringkali bertemu dengan anak-anak muda di jalanan yang datang dari keluarga bercerai-berai, dan perkara itu benar-benar meruntun hati.
Isteri amanah Allah
Di dalam postingnya itu beliau turut berkongsi kisah-kisah penceraian yang pernah dirujuk kepadanya — dan sewaktu fasa itu berlaku jelasnya, setiap orang hanya melihat keburukan dan kekurangan masing-masing tanpa mempertimbangkan walau sedikit kebaikan yang ada pada pasangan mereka.
Beliau berkata, isteri adalah amanah Allah dan adalah menjadi tanggungjawab suami untuk memimpin mereka. Jangan hanya kerana perkara-perkara remeh, mereka terus dijatuhkan talak dan ditinggalkan begitu saja.
Apa yang penting katanya, setiap pasangan perlulah melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu agama – baik sebelum mahupun selepas bernikah supaya bahagia yang dicari itu dapat dikecapi bersama.
Janganlah bina mahligai bahagia atas tangisan air mata isteri yang kita nikahi dan cintai, serta tangisan anak-anak.