Sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM1 juta telah dilaporkan hilang semalam selepas proses kutipan oleh sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank yang terletak di Ampang Point.
Berdasarkan maklumat yang tersebar, kejadian berlaku ketika pemandu van keselamatan yang membawa wang tunai tersebut menyedari pintu van terbuka.
Pemandu membuat pemeriksaan segera dalam kenderaan itu sebelum mendapati satu beg berisi wang tunai telah tiada dalam van tersebut. Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut.
Artikel berkaitan: “Berwarna merah jambu & putih” – Polis Cari Individu Tertinggal Bagasi Berisi RM500,000
Artikel berkaitan: Konduktor Bas Pulangkan Bagasi Berisi RM130,000 Kepada Pemilik Diberi Ganjaran Gula-gula
Beg berisi wang tunai RM1 juta sudah dijumpai
Menerusi perkembangan terkini, beg berisi sejumlah wang tunai itu telah ditemui orang awam dan diserahkan kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beg itu ditemui di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) arah ke ibu negara, tidak lama selepas kejadian.
Katanya, beg berisi wang itu dipercayai terjatuh di atas jalan ketika van syarikat keselamatan itu melalui satu laluan berselekoh.
“Beg berisi wang RM1 juta itu terjatuh di tengah jalan sebelum ditemui seorang pemandu kereta yang melalui laluan berkenaan.
“Beg berkenaan sudah pun diserahkan kepada pihak polis dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan termasuk merakam keterangan individu yang menemui beg itu serta petugas van keselamatan,” katanya.
Pun begitu, polis memaklumkan siasatan masih diperingkat awal dan sedang mengumpul maklumat lanjut tentang kejadian itu.
Sumber: Berita Harian