Masihkah anda ingat tragedi kemalangan ngeri yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu?
Salah seorang mangsa yang terselamat, Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21, kini perlahan-lahan bangkit meneruskan kehidupan meskipun kehilangan ramai rakan sebaya dalam nahas menyayat hati itu.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) itu tekad mengejar cita-citanya untuk bergelar pendidik walaupun masih bergelut dengan kecederaan akibat tragedi tersebut.
Menurut Nor Erika Elysha, kehidupannya banyak berubah sejak kejadian itu, namun dia enggan untuk terus hanyut dalam kesedihan.
“Saya masih dalam proses pemulihan dan sedang menyesuaikan diri mengikuti pengajian secara dalam talian.
“Memang sukar pada awalnya, tetapi saya mahu buktikan bahawa kecederaan ini bukan penghalang untuk terus berjaya,” katanya.
Artikel berkaitan: “Dipandu dua kali ganda had laju” – MOT Dedah Punca Nahas Bas Bawa Penuntut UPSI
Artikel berkaitan: Keluarga 15 Pelajar UPSI Terkorban Dalam Nahas Diberikan Tajaan Pakej Umrah Percuma

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, semangatnya untuk bangkit turut diperkukuh dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, di samping menjalani rawatan fisioterapi secara berkala bagi memulihkan kecederaan yang dialami.
Malah, gadis tabah ini kini memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian demi mencapai impiannya menjadi guru Pendidikan Islam.
Sementara itu, ibunya, Noor Zailizan Zakaria, 41, berkata keluarga sentiasa memberikan sokongan moral agar anaknya tidak berputus asa meskipun trauma dengan kehilangan rakan-rakan tersayang.
“Kami sentiasa berada di sisinya, memberikan kata semangat dan doa agar dia terus kuat. Kami mahu dia percaya bahawa kehilangan dan kecederaan ini bukan penghalang untuk capai cita-cita,” katanya.
Untuk rekod, dalam kejadian awal pagi 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama universiti di Tanjung Malim, Perak, terbabas dan terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).
Sumber: Harian Metro