Kanak-kanak lelaki yang sebelum ini terselamat daripada maut selepas cuba dibunuh oleh ibunya sendiri di sebuah rumah di Taman Perak, Kulim pada 4 November lalu difahamkan masih mengalami trauma.
Perkara ini didedahkan oleh bapa mangsa yang mengatakan anaknya masih bertanyakan mengenai adik yang sudah meninggal dunia dan merinduinya.
Anak selalu tanya saya, lepas ni tak boleh tengok adik dah ka… saya kata memang tak boleh la sebab adik sudah mati.
“Saya hanya mampu tunjuk gambar adiknya supaya dia dapat tengok dan melepaskan kerinduannya,” kata bapa mangsa.

Terdahulu, dalam kejadian ngeri yang berlaku pada jam 11 malam, ibu kanak-kanak itu yang berusia 30 tahun telah ditemui tergantung pada kipas siling dalam sebuah bilik di rumah itu, manakala anak perempuannya yang berusia empat tahun ditemui tidak bernyawa di atas tilam dalam bilik sama dipercayai dibunuh oleh si ibu terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tersebut terselamat daripada tergantung apabila ikatan kain pada lehernya terlucut ketika ditolak dari tangga aluminium oleh ibunya.
Artikel berkaitan: Cuba Dib*nuh Ibu, Kanak-Kanak 7 Tahun Stabil Tetapi Masih Trauma
Mangsa kini di bawah jagaan bapa
Menurut bapa mangsa, anak lelakinya itu tidak banyak bercakap dan dipercayai trauma dengan kejadian yang berlaku.
Bapanya yang berusia 30-an juga menjelaskan, kanak-kanak berkenaan kini di bawah jagaannya dan buat sementara waktu terpaksa cuti sementara dari persekolahan di tahun satu.
Dia juga memaklumkan dia dan bekas isterinya sudah berpisah sejak tiga tahun lalu dan dua anaknya itu diletakkan di bawah jagaan pengasuh selama 24 jam kerana mereka sibuk bekerja.
Bekas isteri bekerja di sebuah kilang dan setiap hari saya akan mengambil anak lelaki ini dari sekolah dan menghantarnya ke rumah pengasuh.
“Pada hari kejadian, bekas isteri mengambil kedua-dua anak datang ke sini dan saya hanya tahu kejadian itu selepas dihubungi oleh ahli keluarga namun nasib baik anak sulung saya ini selamat,” katanya.

Dua beranak itu ditemui ketika polis mengadakan pertemuan semula di lokasi kejadian untuk melihat keadaan kanak-kanak itu, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan cubaan membunuh.
Katanya, setakat ini 15 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.
Sumber: Berita Harian
