Hospital Kampar tidak pernah mengeluarkan arahan kepada kakitangannya untuk menghalang pesakit yang tidak mematuhi etika berpakaian daripada menerima rawatan.
Pengarahnya, Dr Khairul Azha Azam berkata setiap pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital itu diberi perhatian dalam apa jua keadaan lebih-lebih lagi ketika kecemasan.
“Merujuk kepada kejadian yang tular di media sosial mengenai seorang pesakit wanita di kaunter triage pada 13 Februari lalu, laporan awal mendapati wanita berusia awal 20-an itu datang ke unit kecemasan Hospital Kampar dan diperiksa pegawai bertugas.
Dia ditegur pegawai berkenaan kerana memakai seluar pendek. Pegawai bertugas kemudian membawa baju dan gaun hospital untuk dipakai wanita itu sementara, namun dia telah meninggalkan kaunter triage dan memaklumkan kakitangan lain akan mendapatkan rawatan di klinik swasta,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Khairul Azha berkata, wanita itu bagaimanapun kembali ke unit kecemasan dan menerima rawatan daripada doktor yang bertugas serta dibenarkan pulang.
Susulan kejadian itu, beliau berkata pegawai terbabit telah ditegur kerana perbuatannya itu adalah salah dan tidak sepatutnya diulangi.
Selain itu, pengumuman juga telah dibuat untuk memaklumkan kepada semua kakitangan supaya menerima pesakit tanpa mengira pakaian mereka dan tidak mendiskriminasi.
Baca: DG Hisham Bakal Siasat Dakwaan Wanita Tak Dilayan Kerana Berseluar Pendek Di Hospital Kampar