Susulan kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif COVID 19 beberapa hari yang lalu, pengesanan kontak rapat kini sedang giat dijalankan KKM.
Salah seorang daripada kontak rapat Dr Zulkifli ialah Maryam Solehah Noor Hisham, 8, iaitu peserta termuda Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan 1442/2020.
Menerusi perkongsian di Twitter Dr Zulkifli, beliau dan Maryam sempat bertemu dan bersapa di majlis tersebut serta Maryam dilihat bertemu dengan Dr Zulkifli tanpa memakai pelitup muka.
Saya sempat berbual dengan peserta termuda, anakanda Maryam Solehah, 8 tahun yang mewakili Negeri Sembilan. pic.twitter.com/RmNj8yS15b
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) October 4, 2020
Maryam diminta buat ujian saringan COVID 19
Menurut Sinar Harian, bapa kepada kanak-kanak tersebut telah dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Seremban semalam dan diminta membawa Maryam ke Klinik Kesihatan Senawang untuk membuat saringan.
“Saya dan isteri sudah bersedia sebenarnya bila kami tengok di Facebook Jabatan Kemajuan Islam(Jakim) ada gambar Maryam bercakap dengan Datuk Zulkifli.
“Petang semalam lebih kurang jam 3.45 petang, saya dihubungi Pejabat Kesihatan minta bawa Maryam buat saringan dan kami akur dengan arahan,” kata Noor Hisham Mustapa.
Menurut bapa Maryam lagi, setakat ini keadaan kesihatan Maryam baik-baik sahaja dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Walau bagaimanapun, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk kuarantin diri di rumah sehingga keputusan Maryam diperoleh.

“Saya tunggulah arahan seterusnya. Buat masa ini saya dan isteri diberi kebenaran oleh pentadbiran sekolah untuk bekerja dari rumah.
“Anak-anak pun saya tidak hantar ke sekolah termasuk Maryam melainkan anak sulung saya yang kini berada di asrama,” katanya.
Kita sama-samalah berdoa semoga Maryam sihat dan tidak dijangkiti wabak tersebut.

