Bergelar seorang mualaf bukanlah satu perjalanan yang mudah. Bukan mudah untuk konsisten setelah berhijrah kerana ada separuh yang terkandas di pertengahan jalan.
Personaliti media sosial terkenal, Maryam Younarae atau lebih dikenali sebagai Maryam DurianKimchi yang kini sudah pun berhijab berkongsi detik-detik awal beliau bergelar mualaf lima tahun lalu di negara kelahirannya, Korea Selatan.
“Ada orang sampai letak makanan tidak halal dalam mulut ketika saya puasa, tetapi saya tidak telan, terus buang (keluarkan dari mulut) saja,” katanya kepada Sinar Harian.
Artikel berkaitan: “Dia lebih tertutup dari saya” – Maryam DurianKimchi Cerita Detik Ibu Tertarik Dengan Islam
Artikel berkaitan: “Ramai ingat tudung ni satu paksaan…” – Maryam ‘DurianKimchi’ Kongsi Kisah Berhijrah
View this post on Instagram
Namun, Maryam tidak cepat melatah sebaliknya menunjukkan ketenangan dan kesabaran kerana sedar akan kebiasaan yang berbeza di negaranya.
Menurut Maryam, kebanyakan orang di Korea Selatan tidak mempunyai pegangan agama Islam seperti di Malaysia.
“Saya bekerja di hospital pada masa itu. Mereka memberi makanan kepada saya kerana sayang kepada saya. Bila saya menolak makanan itu, mereka kurang faham.
“Akhirnya, saya memberikan isyarat bahawa saya tidak boleh makan dan terus membuang makanan tersebut. Bayangkan kalau saya tidak cukup kuat, pasti saya sudah telan,” katanya.
Pengalaman itu membuktikan Maryam mampu menahan godaan walaupun makanan sudah berada di dalam mulutnya. Baginya, keberanian itu menjadi satu pencapaian yang membanggakan.
“Sebenarnya, kalau hendak lagi seronok, cuba berpuasa di Korea yang mana semua orang makan, saya seorang saja tak makan, tapi anda akan dapat rasakan lebih ‘berkat’.
“Ramadan ini, cubalah ke Korea, Jepun atau negara bukan Islam, rasai pengalaman berpuasa di sana,” katanya.
Pengalaman dan kesabaran Maryam boleh dijadikan inspirasi buat kita semua dalam menempuh ujian kehidupan.
Sumber: Sinar Harian