Menjadi seorang pendidik perlu ada kesabaran tinggi kerana setiap hari di sekolah akan berhadapan pelbagai ragam murid.
Namun, kadang kala ada kisah di sebalik tingkah laku murid itu melakukan perbuatan sedemikian.
Tahan rasa marah tengok murid pergi sekolah dengan kasut kotor
Baru-baru ini, seorang guru bernama Cikgu Jumat berkongsi kisah mengenai seorang murid di sekolahnya di Kunak, Sabah memakai kasut yang kelihatan sangat kotor dan lusuh.
Menurut Cikgu Jumat, situasi itu berlaku pada hari persekolahan ketika beliau bertugas sebagai guru yang menyambut pelajar di pintu pagar sekolah.
Artikel berkaitan: “Nak cikgu beli?” – Pelik Pelajar Sering Tak Pakai Baju PJ, Sebabnya Buat Ramai Sebak
“Saya perhati seorang demi seorang murid, sampailah saya nampak ada seorang murid kasutnya betul-betul kotor macam sudah beberapa minggu tak basuh.
“Masa tu macam nak marah untuk tegur. Kemudian saya tahan dia dan bertanya,” katanya.
Ujarnya, murid tersebut menjawab dalam keadaan ketakutan dan guru berkenaan meminta untuk melihat kasutnya.
“Dia jawab dengan rasa takut. ‘Kalau saya cuci, nanti tapaknya jatuh dan tak boleh pakai lagi cikgu’… Allah, sedih saya dengar.
“Saya angkat kasutnya dan tengok tapaknya jatuh, tapi bila saya selak tapak kasut itu, saya menahan air mata sebagai seorang guru.”
Jelas Cikgu Jumat, keadaan tapak kasut murid tersebut bukan sahaja hilang, malah stoking yang dipakainya juga berlubang.
@cikgujumat Pada awalnya saya tahan nak marah dia, namun akhirnya berubah.. 🥺🥺🥺 . Maafkan cikgu nak! . #cikgujumat #cikguUBK #belajar #fokus #konsentrasi #studytip #tiktokguru #learnontiktok #socialexperiments #rezekiorangkunak #openhouse #people #cuacapanas #wesanderson
Murid jelaskan sebab tak beli kasut baru
Ketika ditanya mengapa tidak membeli kasut baharu, jawapan murid tersebut membuatkan beliau sebak. Rupanya dia tidak mempunyai wang untuk membeli kasut baharu.
“Bila saya tanya dia ‘kenapa tak beli kasut baharu?’ Sambil dia rasa malu, dia jawab ‘maafkan saya cikgu. Saya tidak ada duit mahu beli kasut baharu’.
“Saya tanya dah berapa lama pakai kasut ni, dia jawab dah dua bulan. Dua bulan dia pakai kasut dalam keadaan jalan tar yang panas, dia sorokkan pada guru-guru sampai tiada yang perasan,” katanya.
Susulan itu, Cikgu Jumat bersama rakannya sepakat membawa murid itu ke pekan untuk membeli stoking dan kasut baharu buatnya.
Beliau turut berpesan kepada murid tersebut untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib diri dan keluarga.
Perkongsian video itu telah meraih simpati orang ramai, rata-ratanya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Cikgu Jumat atas tindakan mulianya itu.