Kalau di Malaysia, jarang sekali kita dengar tentang permainan bola sepak yang dianggotai oleh golongan wanita, kan? Tapi kalau di negara luar ia adalah perkara biasa.
Pun begitu baru-baru ini, bintang bola sepak wanita Iran, Zohreh Koudaei telah menjadi sebutan ramai selepas badan induk bola sepak Jordan memohon Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) melakukan ‘pemeriksaan pengesahan jantina’ ke atasnya.
Menurut Berita Harian, Zohreh, 32, sebelum ini telah membawa kejayaan kepada pasukan Iran dengan memenangi 4-2 menentang Jordan apabila dia berjaya menyelamatkan dua penalti semasa penentuan.
Kemenangan ini sekaligus menempatkan Iran ke Piala Wanita Asia buat pertama kali.
“Saya seorang wanita. Ini tindakan membuli oleh Jordan”
Menafikan dakwaan bahawa dia seorang lelaki, Zohreh katanya akan mengambil tindakan undang-undang dan menyifatkan insiden tersebut sebagai buli.
Saya seorang wanita. Ini tindakan membuli oleh Jordan. Saya akan memfailkan tindakan undang-undang.
“Saya akan saman Persekutuan Bolasepak Jordan. Mereka melakukan perbuatan membuli,” katanya.
Membincangkan mengenai dakwaan tersebut, jurucakap AFC walau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada mereka akan menyiasat permintaan dari Jordan atau tidak.
Menerusi satu kenyataan, AFC berkata:
“AFC tidak mahu memberikan komen mengenai siasatan yang sedang berlangsung dan/atau prosedur, sama ada berlaku atau berpotensi.”
Menurut penyiar Arab Saudi, Al-Arabiya pula berkata, Zohreh sebelum ini juga pernah dipersoalkan hal mengenai jantinanya.
Sukan bola sepak boleh dikatakan antara permainan yang agak popular di kalangan wanita Iran meskipun terdapat undang-undang di sana yang melarang wanita menonton bola sepak antara lelaki.
Baca: ‘Businessman’ China Ini Beli Kelab Bola Sepak Sebab Nak Bersukan Dengan Anak Lelaki Berat 126 KG