Bekerja dalam syif bukanlah sesuatu yang baru, lebih-lebih lagi dalam industri pembinaan dan servis.
Kajian terbaru menunjukkan kerja syif malam boleh menyebabkan masalah ingatan dan mengganggu fungsi otak yang lain, kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Occupational and Environmental Medicine.
Menurut laporan United Press International, ia juga dikaitkan dengan tahap kewaspadaan dan fokus visual yang lebih rendah, serta penurunan dalam keupayaan untuk mengawal perasaan (impulse) dan tindak balas dalam sesebuah situasi.
Kajian itu juga menyatakan, perkara ini akan meningkatkan potensi kecederaan dan kesilapan di tempat kerja.
Berdasarkan data daripada 18 kajian yang merangkumi lebih daripada 18,000 peserta, penyelidik mendapati bahawa pekerja syif malam mempunyai markah yang lebih rendah pada ujian yang direka untuk mengukur kawalan perasaan dan respon dalam sesebuah situasi atau keupayaan membuat keputusan.
Kajian ini juga mendapati kerja syif malam boleh mendatangkan masalah tidur dan komplikasi kesihatan serius lain, termasuk penyakit jantung, obesiti, diabetes, gangguan mood dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Sebagai info, dalam analisis ini penyelidik Austria menyemak data daripada 18 kajian yang diterbitkan antara 2005 dan 2020 yang secara kolektif merangkumi 18,802 orang dewasa yang bekerja syif dan secara purata berumur 35 tahun.
Berdasarkan penemuan tersebut, syarikat yang melibatkan pekerja syif harus mempertimbangkan langkah perlindungan seperti tidur berjadual, pelan pemulihan dan pemantauan pekerja untuk meminimumkan potensi kesihatan, kata para penyelidik.
Baca: “Balik kerja on time dipandang serong” – Netizen Kongsi ‘Keluhan’ Budaya Kerja Yang Patut Ditukar