Sebuah pesawat United Airlines yang dalam perjalanan dari Los Angeles ke Shanghai terpaksa berpatah balik selepas salah seorang juruterbang didapati tertinggal pasport, menyebabkan gangguan kepada jadual penerbangan.
Memetik laporan Buletin TV3, Pesawat UA 198 berlepas dari Los Angeles pada 22 Mac sekitar jam 2 petang sebelum diarahkan berpatah balik ke San Francisco. Ia mendarat sekitar jam 5 petang waktu tempatan bagi membolehkan syarikat penerbangan itu menggantikan kru yang bertugas.
Untuk memastikan penerbangan dapat diteruskan, United Airlines segera mengaturkan juruterbang baharu. Penumpang yang terjejas diberikan baucar makanan dan pampasan sebagai ganti atas kelewatan. Pesawat akhirnya berlepas semula sekitar jam 9 malam dan tiba di Shanghai enam jam lebih lewat daripada jadual asal.
Insiden ini turut menyebabkan kelewatan bagi penerbangan pulang UA 199 dari Shanghai ke Los Angeles, memandangkan pesawat yang sepatutnya digunakan tiba lebih lewat daripada yang dijangkakan.
Baca: Tentera Udara Thailand Guna Jalan Kampung Sebagai Landasan Jet Pejuang