Selalu kalau pagi raya, korang mesti sudah boleh agak menu apa yang akan dihidangkan atas meja kan? Mesti ada ketupat, lemang, rendang, lontong, lodeh dan macam-macam lagi. Tapi ada tau sesetengah keluarga yang ada menu yang lain daripada kebiasaan. Boleh tahan ‘rare’ juga la menu dia.
Korang nak tahu tak menu apa yang ‘rare’ itu? Jom kita imbau kembali menu-menu tradisional yang selalu dihidangkan setiap kali menyambut Aidilfitri pada zaman dahulu. Kalau keluarga korang still masak masakan ni, korang memang terbaik!
Sambal Goreng Pengantin
Menu ini antara menu yang susah nak jumpa kalau bukan waktu raya. Tak semua orang rajin nak masak sambal ini sebab katanya bahan dia agak banyak dan masa yang diambil untuk masak sambal ini pun agak lama.
Menu ini agak terkenal di Johor dan juga Singapura sebab sambal ini juga sering dihidangkan ketika majlis perkahwinan di Singapura. Apa yang membezakan sambal ini dengan sambal yang biasa kita makan adalah sambal ini ada campuran daging dan bukannya sekadar campuran pelbagai protein seperti di dalam sambal goreng yang biasa.
Ketupat Lemak
Korang setuju tak kalau cakap yang sambutan Aidilfitri tak akan lengkap kalau tak ada ketupat atau rendang? Betul tak?
Ketupat dengan rendang ini boleh dikatakan kombinasi yang tak boleh dipisahkan. Ya Allah tiba-tiba terliur teringat rendang ayam yang mak selalu masak. Fuh dugaan betul bulan puasa ni cerita pasal makanan.
Jap, korang pernah makan tak ketupat lemak? Rare kan? Apa yang istimewanya tentang ketupat lemak ini adalah ketupat ini direndam di dalam santan bercampur garam secukupnya untuk buatkan dia betul-betul rasa berlemak dan biarkan sehingga 3-4 jam sampai masak.
Siapa yang tak pernah cuba, korang kena cuba okay! Memang cukup sedap berlemak yang amat.
Rendang Padang
Menu ini berasal dari suku kaum Minang di Indonesia yang jarang dijumpai di Malaysia. Tapi, ada sesetengah keluarga yang jadikan menu ini sebagai menu khas mereka di Aidilfitri yang akan dihidangkan kepada tetamu.
Apa yang membezakan rendang padang ini dengan rendang yang biasa kita makan adalah rendang ini tidak terlalu pekat dan ada juga yang masukkan paru di dalamnya untuk menjadikan hidangan ini lebih berlemak untuk dinikmati. Rendang ini kalau lagi lama dipanaskan, warna dia akan lagi keperangan dan lagi sedap. Fuh, ni kalau makan dengan pulut kuning memang ngam!
Burasak
Menu ini merupakan hidangan tradisional bagi suku kaum Bugis yang biasanya dihidangkan bersama ayam masak merah, ayam masak likku dan asam pedas ikan parang. Dikenali juga sebagai Buras, menu ini disediakan dengan nasi yang dikukus bersama santan dan dibaluti dengan daun pisang nipah.
Burasak ini berbentuk leper seperti lepat pisang tapi lebih besar dan lebar. Bungkusan burasak ini juga akan diikat menggunakan tali agar tidak terbuka ketika dalam proses mengukus. Proses penyediaan burasak yang agak lama membolehkan menu ini boleh tahan lama kalau mengikut cara penyimpanan yang betul.
Ayam Ungkep
Menu ayam ungkep ini pula tradisi masyarakat Jawa yang akan dihidangkan ketika menyambut perayaan raya Aidilfitri. Korang pernah dengar tak perkataan ‘ungkep’? Ungkep bermaksud semua bahan dan perasa perlu dimasukkan bersama menjadi satu supaya senang dimasak bila ditutup rapat-rapat dalam kuali dan dimasak dalam api yang sederhana. Lauk ini kalau makan dengan nasi putih panas-panas memang sedap gila weh!
Lemang Tepung
Menu ini merupakan makanan tradisi orang Perak yang katanya rasa dia seakan-akan kuih bingka tapi cara masak pula lebih kurang macam masak lemang pulut iaitu menggunakan buluh. Lemang ini sudah makin hilang ditelan zaman sebab lemang ini cepat basi dan tidak boleh bertahan lama. Sebab itu tak ramai yang buat dalam kuantiti yang banyak. Selain itu, bahan-bahan yang digunakan untuk buat lemang tepung ini agak susah untuk dicari dan juga ambil masa yang lama untuk dimasak.
Sumber: Melaka International Trade Centre, FiveFootFive Sg, Azie Kitchen, Saji, Iluminasi, Orang Perak