in

JPN Sabah Sahkan ‘Kak Wana, Kak Dedeng & Tomboi’ Masih Bersekolah, Nafi Ada Kaitan Dengan Keluarga VIP

zara qairina

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Tiga pelajar yang dikaitkan dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir, iaitu ‘Kak Wana, Kak Dedeng & Tomboi’ disahkan masih bersekolah di institusi yang sama dan tidak dipindahkan seperti yang didakwa netizen di media sosial.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin menjelaskan bahawa ketiga-tiga pelajar berkenaan kekal sebagai pelajar aktif dan tiada sebarang tindakan diberhentikan atau dipindahkan ke sekolah lain.


Beliau turut menafikan khabar angin yang mendakwa mereka adalah anak kepada individu kenamaan (VIP).

“Semua pelajar itu masih bersekolah, tiada yang berhenti sekolah. Juga tiada kaitan dengan VIP dan pihak polis,” katanya ringkas.

Beliau menegaskan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan akan menunggu keputusan rasmi daripada pihak berkuasa tanpa membuat sebarang spekulasi.

Artikel berkaitan: Ibu Zara Qairina Percaya Kematian Anak Ada Unsur Jenayah – Peguam 

Artikel berkaitan: Akhi Fairuz Mohon Maaf Isu Posting ‘Plot Twist’ Yang Dikaitkan Dengan Kes Adik Zara Qairina

Zara Qairina Mahathir
Zara Qairina Mahathir

Sebelum ini, media sosial kecoh dengan penyebaran nama-nama individu yang dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’, yang didakwa terlibat dalam kes kematian Zara Qairina.

Spekulasi bertambah hangat apabila timbul dakwaan bahawa pelajar-pelajar terbabit mempunyai hubungan dengan keluarga VIP, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai yang menuntut keadilan buat arwah.

Bagaimanapun, pihak polis menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan mana-mana individu kenamaan dengan insiden itu.

Malah, Istana Seri Kinabalu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, turut tampil menafikan dakwaan liar tersebut bagi menghentikan spekulasi yang tidak berasas.

Setakat ini, pihak polis telah memanggil seramai 60 individu untuk diambil keterangan, termasuk tiga pelajar yang menjadi perhatian netizen.

Siasatan masih diteruskan dan pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan.

Misteri di sebalik kematian Zara Qairina Mahathir, 13, masih belum terjawab walaupun insiden itu sudah berlalu lebih dua minggu.

Pada awal pagi 16 Julai lalu, kira-kira pukul 3 pagi, Zara ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar.

Beliau segera dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Laporan awal menyebut Zara dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama, namun ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta ketiadaan saksi utama yang tampil memberikan keterangan secara terus, menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan.

Kredit: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.