Satu kejadian mencemaskan berlaku di Dhaka, Bangladesh apabila jet pejuang terhempas ke sekolah semalam, ia mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan lebih 170 yang lain dalam nahas penerbangan paling maut di negara itu bagi tempoh beberapa dekad.
Difahamkan, sebahagian besar daripada mangsa ialah pelajar yang baru sahaja tamat kelas apabila pesawat F-7 BJI buatan China merempuh Sekolah dan Kolej Milestone.
Artikel berkaitan: Laporan Awal Dedah Suis Bahan Api Ditutup, Wujud Kekeliruan Dalam Kokpit Sebelum Pesawat Air India Terhempas
Artikel berkaitan: Pesawat Terhempas, Semua Penumpang Termasuk Juruterbang Terkorban
Wakil pihak tentera berkata, 20 orang terbunuh termasuk juruterbang, manakala 171 yang lain cedera apabila jet itu terhempas ekoran kegagalan mekanikal.
Seorang pelajar berusia 18 tahun, Shafiur Rahman Shafi berkata, dia mendengar bunyi letupan besar yang dirasakan seperti gempa bumi.
“Ada dua pesawat pejuang. Tiba-tiba satu daripada dua pesawat itu terhempas di sini (di taman permainan). Ia menghasilkan ledakan dan berasa seperti gempa bumi. Kemudian ia terbakar,” katanya.
Dalam pada itu, pihak tentera berkata juruterbang, Leftenan Penerbangan Towkir Islam berada dalam misi latihan rutin apabila jet itu mengalami kegagalan mekanikal.
Tambahnya, juruterbang cuba melencongkan pesawat itu dari kawasan padat penduduk walaupun berusaha sebaik mungkin, ia merempuh bangunan sekolah dua tingkat. Bagaimanapun, punca sebenar insiden itu masih dalam siasatan.
Sumber: Kosmo!